Jangan tanya kuih bakul dah masak?

Tiaw Pheng (dua, kiri), Rosliza, Guat Thee dan Chui Huai menunjukkan kuih bakul yang dihasilkan selepas melalui proses pengkukusan selama 15 jam.
Tiaw Pheng (dua, kiri), Rosliza, Guat Thee dan Chui Huai menunjukkan kuih bakul yang dihasilkan selepas melalui proses pengkukusan selama 15 jam.
A
A
A

BACHOK - Seorang pembuat kuih bakul tetap mengamalkan petua dan pantang larang yang diajar oleh nenek moyangnya ketika menyediakan kuih tradisional itu walaupun tidak mengetahui sejauh mana kebenaran amalan tersebut.

Bagi Tan Tiaw Pheng, 33, membuat kuih bakul bukan sahaja rumit kerana perlu melalui proses kukus sehingga 15 jam tetapi terdapat pantang larang tertentu yang perlu dipatuhi dalam memastikan kuih bakul masak dengan sempurna, bermutu serta tahan lama.

Itu menjadi kepercayaan turun temurun Tiaw Pheng dan keluarganya yang masih mengekalkan cara tradisional membuat kuih bakul iaitu dengan menggunakan batu pengisar di Kampung Kemayang, Tawang di sini.

“Jangan tanya kuih dah masak atau belum, takut nanti kuih tidak menjadi.

“Bukan pembuat kuih saja, tetamu pun perlu menjaga adab dan diminta tidak celupar sekiranya berkunjung ke tempat pembuatan kuih popular masyarakat Tionghua ini,” katanya yang tidak lokek bercerita mengenai pantang larang yang diamalkannya itu.

Guat Thee (kanan) yang membantu Tiew Pheng (kiri) memasukkan beras pulut untuk dikisar dalam pengisar batu.
Guat Thee (kanan) yang membantu Tiew Pheng (kiri) memasukkan beras pulut untuk dikisar dalam pengisar batu.

Dia yang merupakan generasi kelima dalam keluarganya berkata, itu petua orang tua dulu-dulu dan tidak pula diketahui sejauh mana kebenarannya.

“Saya tetap ikut sebab masak kuih dalam jumlah yang besar. Takut juga nanti kalau langgar pantang kuih yang saya buat ini tak menjadi.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, cara tradisional guna batu pengisar juga dapat menghasilkan tekstur kuih yang betul berbanding cara moden menggunakan pengisar elektrik atau menggunakan tepung beras sedia ada yang menjadikannya terlalu halus,” katanya.

Selain Tiaw Pheng, perusahaan membuat kuih bakul itu dibantu ibunya, Kam Guat Thee, 65, ibu saudaranya, Tan Chui Huai, 65, dan pembantunya, Rosliza Hasan, 49.

Dia juga tidak kedekut berkongsi cara membuat kuih bakul yang bermula dengan proses mencuci beras, kemudian beras direndam semalaman sebelum dicuci semula beberapa kali sehingga bersih.

“Langkah ini penting untuk memastikan kuih bakul berkualiti, bebas kulat dan boleh tahan sehingga setahun.

“Selepas itu, kisar beras pulut dengan batu pengisar dan dijemur untuk membuang airnya sebelum diuli bersama gula putih. Kemudian kuih bakul dikukus menggunakan dapur kayu api selama 15 jam,” katanya.

Chui Huai dan Rosliza menyusun kuih-kuih bakul yang siap untuk dihantar kepada pelanggan yang menempahnya.
Chui Huai dan Rosliza menyusun kuih-kuih bakul yang siap untuk dihantar kepada pelanggan yang menempahnya.

Tambah Tiaw Pheng, sebanyak 20 kilogram (kg) beras pulut dan gula dapat menghasilkan 150 kuih bakul bergantung kepada saiz sama ada kecil, sederhana atau besar tetapi ia dijual dengan harga RM18 sekilogram.

“Kuih bakul mendapat permintaan tinggi terutama pada musim perayaan Tahun Baru Cina dan boleh dimakan terus atau boleh juga digoreng celup tepung jika dipotong dalam saiz kecil,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!