Bapa mengaku salah simbah anak air panas
GEORGETOWN - Seorang ejen jualan kad prabayar mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyimbah air panas ke atas dua anaknya pada Disember lalu.
Eddy Noramin Ramli, 41 membuat pengakuan itu setelah fakta kes dibacakan dihadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan tadi.
Mengikut pertuduhan pertama, Eddy didakwa telah dengan niat mencederakan anak perempuannya berusia sembilan tahun dengan menggunakanair panas hingga melecur badan mangsa.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan perkara sama ke atas anak lelakinya berusia 10 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua pertuduhan itu di antara jam 1 hingga 2 pagi pada 28 Disember lalu di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini.
Bagaimanapun hukuman ke atas tertuduh belum diputuskan berikutan laporan perubatan belum diterima.
Peguam tertuduh, Edmund Anthony Hermon memohon tertuduh dibebaskan dengan jaminan terlebih dahulu dan memohon jaminan yang rendah terhadap anak guamnya.
Dalam permohonan itu, Edmund menyatakan tertuduh merupakan penanggung tunggal kepada keluarganya dan perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja.
Tertuduh juga perlu menanggung empat anaknya yang berusia 5 hingga 10 tahun dengan pendapatan bulanan RM500.
Rosnee membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh serta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati mangsa.
Mengikut fakta kes, pada 28 Disember jam 3.30 petang, Pondok Polis Hospital Pulau Pinang (HPP) menerima laporan bahawa seorang kanak-kanak perempuan disimbah air panas oleh bapa kandungnya.
Pada 2 Januari lalu, polis menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengatakan seorang kanak-kanak lelaki telah melecur di peha akibat kejadian sama yang dilakukan bapa kandungnya.
Mahkamah menangguhkan hukuman ke atas tertuduh kerana menunggu laporan perubatan mangsa dan menetapkan 12 Februari ini untuk menjatuhkan hukuman.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen.
Terdahulu, tertuduh ditahan bersama isterinya di hadapan sebuah kedai menjual durian Cap Kaki di Paya Terubong setelah sembilan hari melarikan diri.
Bagaimanapun, isterinya yang berusia 38 tahun itu tidak didakwa dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan melecur di beberapa bahagian badannya dipercayai disimbah air panas oleh bapa kandungnya.
Mangsa berusia 8 tahun itu dikatakan disimbah air panas di badan selepas bapanya berang kerana makanan yang disediakan isterinya habis dimakan empat anaknya termasuk mangsa.
Akibat daripada itu, mangsa melecur di lengan, rusuk serta dada kanan namun tidak memerlukan pembedahan plastik.
Ia berikutan peratusan melecur pada badan mangsa hanya tiga peratus dan dikategorikan sebagai 'mid-dermal burn'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!