Dua lelaki ditahan bantu siasatan pusat hiburan dibaling petrol

Rakaman CCTV memaparkan beberapa individu membaling objek dipercayai bom petrol ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada Khamis.
Rakaman CCTV memaparkan beberapa individu membaling objek dipercayai bom petrol ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki berumur 25 tahun di Batu Caves petang tadi bagi membantu siasatan berkaitan kes sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng terbakar akibat dibaling bom petrol awal pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua lelaki tempatan berkenaan ditahan pukul 3 petang di sebuah rumah.

"Kita akan mengemukakan perintah reman terhadap kedua-dua suspek terbabit esok dan berdasarkan siasatan awal, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur ekstremisme," katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan pemilik premis dan pengurus pusat hiburan berkenaan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

Semalam, tular video melalui media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan terbabit.

Sementara itu, mengulas mengenai 10 suspek termasuk tiga warga asing yang mempunyai kaitan dengan lelaki Israel yang didakwa di mahkamah atas tuduhan memiliki senjata api, Rusdi berkata, kesemua mereka akan dibebaskan minggu depan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, tiga warga asing berkenaan bagaimanapun akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan dibebaskan sebelum tempoh reman tamat pada 14 dan 15 Mei ini, walaupun dibebaskan mereka tetap boleh dipanggil semula bagi membantu siasatan," katanya.

Pada 30 April lepas, Rusdi dilaporkan berkata, polis akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara bagi menentukan bentuk tindakan lanjut terhadap individu berkenaan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pada 11 April, lelaki Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memiliki enam senjata api dan 158 butir peluru di sebuah hotel di ibu negara bulan lepas.

Sepasang suami isteri pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April terhadap pertuduhan yang berkaitan dengan pemilikan senjata api berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!