Banjir terburuk landa selatan Brazil
BRASILIA - Hujan lebat berterusan impak daripada fenomena El Nino yang sedang melanda seluruh dunia menyebabkan negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil diisytiharkan darurat.
Gabenor Rio Grande do Sul, Eduardo Leite ketika mengulas tentang bencana tersebut menyifatkan ia sebagai tragedi terburuk dalam sejarah negeri itu.
Terbaharu, angka kematian akibat banjir di negeri berkenaan telah meningkat kepada 107 orang.
Xinhua memetik kenyataan Agensi Pertahanan Awam melaporkan kira-kira 1.5 juta penduduk terjejas oleh bencana itu dan 136 orang masih hilang.
Cuaca buruk itu telah menyebabkan perintah kecemasan terpaksa diisytiharkan di 80 peratus kawasan negeri itu.
Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Khamis dilaporkan berdepan kesukaran berikutan hujan lebat berterusan.
Sebelum itu, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva memaklumkan tahap kemusnahan hanya akan dapat dinilai apabila air banjir mulai surut.
Keadaan berlarutan sejak lebih seminggu lalu itu juga menyebabkan seramai 155,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Kira-kira 15,000 anggota keselamatan termasuk tentera dan sukarelawan terlibat dalam operasi SAR itu.
Kebanyakannya menggunakan bot dan jet ski untuk menyelamatkan penduduk terperangkap yang kemudiannya dipindahkan ke pusat penempatan sementara.
Konfederasi Perbandaran Kebangsaan memaklumkan kira-kira 61,000 rumah telah rosak atau musnah akibat hujan dan banjir dengan kerugian dianggarkan mencecah kira-kira 6.3 bilion reais (RM5.8 bilion).
Hujan lebat itu bermula pada minggu lalu dan berterusan hingga menyebabkan negeri berkenaan ditenggelami banjir serta turut memusnahkan kemudahan asas yang lain.Pakar iklim mengaitkan kejadian hujan ini berpunca daripada pemanasan global yang diburukkan lagi fenomena El Nino pada tahun ini.
El Nino menyebabkan perairan Pasifik mengalami peningkatan suhu, sekali gus membawa hujan ke selatan Brazil.
Banjir itu juga turut menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyuarakan rasa sedih mereka malah menyampaikan kesediaan Malaysia menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana.
“Ingatan dan doa kami bersama rakyat Brazil terutamanya mereka yang terjejas,” kata Anwar.
Selain itu, beliau turut mendoakan semoga urusan dan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Rio Grande do sul berjalan lancar dan Brazil kembali pulih seperti sediakala. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!