Fotofit suspek simbah asid sedang disiapkan - KPN
KUALA LUMPUR - Polis dalam proses menyiapkan lakaran wajah atau fotofit suspek kes simbah asid membabitkan tonggak bola sepak Selangor FC, Faisal Halim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, fotofit ini akan dibuat pada Sabtu.
"Daripada situ kita akan kumpul lagi maklumat selain mengkaji lagi cap jari (di lokasi kejadian) seperti siasatan yang dibuat pada kes pembunuhan kanak-kanak, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
"Siasatan kes ini perlu dibuat dengan adil dan kita tidak boleh menangkap orang sesuka hati," katanya ketika ditemui pemberita semasa Sambutan Hari Autisme di Pusat Autisme Pengaman, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Mengulas mengenai jumlah individu yang direkod keterangan, tambah Razarudin, lebih 12 individu setakat ini telah direkod keterangan.
Jelasnya, ini termasuklah mangsa (Faisal), keluarga mangsa, doktor dan saksi berkepentingan.
"Faisal antara yang paling awal yang direkod keterangan," ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, 5 Mei lalu, Faisal alami melecur tahap empat selepas disimbah asid dipercayai oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Susulan itu, polis berjaya memberkas dua lelaki secara berasingan di Pandan Indah, Ampang dan Bangi pada hari kejadian serta Isnin lalu.
Sementara itu mengulas berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB), Razarudin mengulangi komitmen pihaknya dalam memastikan keselamatan awam khususnya pada mereka yang keluar mengundi.
“Kita dah tetapkan pegawai di saluran dan bilik gerakan ada anggota bertugas daripada sebelum, semasa, dan selepas ini.
"Saya yakin akan menentukan keamanan dan ketentraman kepada pengundi kepada pengundi yang keluar mengundi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!