Padah berlumba di Lebuhraya Guthrie
SUNGAI BULOH - Aksi 'superman' dan zig-zag geng mat rempit di Lebuhraya Guthrie, di sini menjerat diri selepas ditahan polis pada Sabtu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, tangkapan bermula jam 2 pagi itu dibuat menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman.
Menurutnya, lima penunggang berusia 17 hingga 23 tahun ditahan secara berasingan.
"Tangkapan pertama membabitkan dua penunggang, manakala tiga lagi ditahan di lokasi berasingan selepas kesemua mereka dikesan melakukan aksi menunggang secara melulu dan berbahaya.
"Polis telah menyita motosikal mereka jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC, Yamaha Lagenda serta SYM VF3I," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, soal siasat awal mendapati lima lelaki tempatan itu tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan motosikal, sebaliknya mereka yang menetap di sekitar Lembah Klang itu hanya menjadikan lebuh raya terbabit sebagai tempat melepak dan berlumba.
Katanya, kesemua mereka dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tegasnya, Op Samseng Jalanan dilaksanakan bertujuan bagi membendung dan membanteras kegiatan terbabit selain mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
"Sepanjang operasi yang turut membuat pemeriksaan terhadap 25 individu itu, polis mengeluarkan 44 saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, tiada cermin sisi, ekzos bising, tiada lesen memandu serta ubah suai struktur," ujarnya.
Justeru, JSPT akan terus melaksanakan operasi membendung kegiatan samseng jalanan daripada terus berleluasa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!