Pemimpin UMNO perlu terbuka terima kritikan - Mohd Yusoff
GEORGE TOWN - Pemimpin UMNO perlu terbuka menerima teguran dan kritikan, malah sanggup berundur jika dinasihat atau didesak sekiranya mahu menyelamatkan parti keramat itu dan kembali mendapatkan sokongan orang Melayu.
Pandangan itu disuarakan veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yusoff Latiff yang turut mahukan semua pimpinan dan anggota parti berani membersihkan parti itu daripada sebarang kekotoran akibat rasuah dan salah guna kuasa sebagai satu semangat baharu sempena menyambut ulang tahun UMNO yang ke-78 tahun pada Sabtu.
Menurutnya, UMNO mesti terus aktif dalam masyarakat yang berjuang demi agama, bangsa dan negara buat selamanya.
Bagaimanapun katanya, untuk menjadi terus relevan, pemimpin UMNO harus membersihkan parti daripada sebarang perbuatan sakau menyakau harta.
"Tidak dapat dinafikan setelah parti ini menjadi kaya raya terdapat beberapa kerat pemimpin yang mengaut kesenangan hidup dengan menjadi penyakau harta milik UMNO.
"Perbuatan sakau ini berlaku selepas UMNO direlakan oleh pemimpin-pemimpin ketika itu dibatalkan (diharamkan) oleh mahkamah pada Februari 1988," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Yusoff yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) berkata, sebagai veteran UMMO beliau menggesa supaya mereka yang menyakau kekayaan milik orang Melayu itu harus bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
Katanya, kepimpinan UMNO digesa menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dan menyiasat semua penyakau terbabit serta meminta mereka menyerahkan semula harta milik UMNO.
"Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, UMNO harus bersikap terbuka dan pemimpin-pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran dan kritikan.
"Malah mereka perlu sanggup berundur jika mereka dinasihat, diminta mahupun didesak untuk berbuat demikian demi menyelamatkan parti kesayangan orang Melayu ini," katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!