Perhilitan pindah gajah rosak tanaman penduduk di Hulu Besut

Dua ekor gajah denak, Indah (kanan) dan Suria (kiri) sedang membantu menaikkan gajah liar ke atas lori dalam operasi memindahkan gajah liar di Kampung Pak Sik, Keruak, Hulu Besut pagi ini. - Foto: Bernama
Dua ekor gajah denak, Indah (kanan) dan Suria (kiri) sedang membantu menaikkan gajah liar ke atas lori dalam operasi memindahkan gajah liar di Kampung Pak Sik, Keruak, Hulu Besut pagi ini. - Foto: Bernama
A
A
A

JERTIH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan seekor gajah jantan yang berkeliaran sejak dua minggu lepas di Kampung Pak Sik di Hulu Besut, dekat sini hari ini.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, gajah itu ditangkap pada Rabu lepas setelah dua hari usaha mengesannya dilakukan, sebaik sahaja pihaknya menerima aduan mengenai haiwan itu yang merosakkan tanaman penduduk kampung

"Seramai 21 anggota Perhilitan Terengganu danJohor, serta ibu pejabat Perhilitan, terlibat dalam operasi memindahkan gajah itu.

"Operasi ini turut dibantu oleh dua ekor gajah denak iaitu Suria dan Indah yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi memindahkan gajah berkenaan.

Beliau berkata, operasi menaikkan gajah liar seberat dua tan itu bermula pukul 8.30 pagi tadi dan selesai kira-kira tiga jam kemudian.

Kean Seong berkata, gajah yang berada dalam keadaan sihat itu akan dipindahkan ke kawasan habitat semula jadi yang lebih sesuai dan selamat.

"Dengan penangkapan dan pemindahan gajah ini, ia sekali gus dapat mengelak kerugian lebih besar dialami penduduk kampung di sini, yang dianggarkan boleh mencecah sehingga RM1 juta memandangkan kawasan ini dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman seperti kelapa sawit, pisang dan tanaman lain,” katanya.

Beliau berkata pemindahan gajah hari ini merupakan operasi yang ketiga dilaksanakan di Terengganu, dengan operasi pemindahan sebelum ini yang pertama melibatkan seekor gajah di Dendong, Besut, dan kedua di Merang, Setiu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya setiap operasi menangkap dan memindahkan seekor gajah akan melibatkan kos antara RM50,000 hingga RM70,000. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!