Ada pihak perguna Orang Asli ceroboh hutan simpan waktu malam
KAMPAR - Kerajaan Perak akan menambah jumlah penguat kuasa bagi menjalankan aktiviti pemantauan di kawasan hutan simpan negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu berdasarkan beberapa siri pencerobohan yang berlaku di kawasan hutan simpan termasuk bagi aktiviti memancing dan rekreasi.
Menurutnya, dalam keadaan tertentu, ada pihak yang mengambil kesempatan memasuki kawasan hutan simpan pada waktu malam dengan bantuan penduduk orang asli bagi mengelak dikesan.
"Kawasan (hutan simpan) ini tidak berpagar. Ada orang masuk malam dan ada juga yang menyalahgunakan hubungan baik dengan Orang Asli masuk ke situ.
"Apabila mereka sudah masuk, kita tak dapat nak kesan kecuali kita ada penguat kuasa yang mencukupi untuk memantau.
"Jadi berdasarkan keperluan itu, kita akan menambah bilangan penguat kuasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemuliharaan Biodiversiti Penghutanan Semula AEON Credit di Taman Alam Kinta di sini pada Sabtu.
Khamis lepas, lapan rakan masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Hutan Simpan Banding tanpa permit pada Mac lepas.
Penahanan terhadap mereka dibuat Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) selepas beberapa siri video tular dalam laman sosial mengenai dakwaan kegiatan pengeboman ikan yang dipercayai berlaku di dalam hutan simpan itu susulan penemuan pelbagai spesies dan saiz ikan terapung.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, Perak kini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penanaman 10 juta pokok menjelang 2025.
Katanya, sejak kempen dimulakan pada 2021, kerajaan negeri berjaya menanam 7.88 juta pokok pelbagai spesies di seluruh negeri.
"Ini tidak termasuk program yang dilaksanakan AEON Credit ini mensasarkan penanaman semula 10,000 pokok hutan spesies tempatan, spesies dari Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam SemulaJadi (IUCN) dan spesies pokok buah-buahan di kawasan taman seluas lebih 20 hektar menjelang September tahun ini," katanya.
Beliau berkata, usaha yang dilakukan AEON Credit bukan sahaja membantu memulihara hutan dan mengekalkan kehijauan bumi, tetapi juga menjaga habitat hidupan yang mendiami kawasan Taman Alam Kinta.
Ujarnya, Taman Alam Kinta yang juga Taman Negeri ketiga terbesar di Perak memainkan peranan penting dalam melestarikan kepelbagaian biologi dan habitat haiwan.
"Keunikan dan keindahan Taman Alam Kinta ini yang menjadi syurga kepada lebih 150 spesies burung dan lebih 1,400 burung air menjadikannya destinasi menarik untuk pelancongan sambil menjaga alam sekitar," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!