PRK KKB: Pengundi terlantar sanggup diusung ke pusat mengundi
HULU SELANGOR - Terlantar di katil sejak empat tahun lepas akibat serangan angin ahmar tidak menghalang Zul Majid, 63, untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini.
Dia yang sanggup diusung menggunakan katil beroda ke pusat pengundian tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah di sini pada jam 12.30 tengah hari dengan menaiki ambulans.
Bekas pemandu ambulans itu berkata, biarpun hampir mustahil untuknya keluar mengundi berikutan penyakit dihidapinya, namun atas sokongan isteri, dia mengambil keputusan untuk turut menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
"Syukur semua urusan dipermudahkan, ramai orang bantu urusan pergerakan saya daripada rumah ke tempat mengundi terutama sekali isteri selain daripada ambulans yang disediakan NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Saya amat seronok kerana ini mungkin undi terakhir saya,” katanya.
Menurut Zul, dia tidak pernah gagal menunaikan kewajipan mengundi kecuali ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos lepas akibat faktor kesihatannya yang merosot ketika itu.
"Saya dah tunaikan tanggungjawab saya, tinggal lagi harapan saya selepas ini mana-mana wakil rakyat dipilih akan berkhidmat dengan baik, jaga kepentingan dan kebajikan penduduk KKB dan paling penting jangan main sentimen agama dan kaum di sini,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Dalilah Abas, 62, bersyukur kerana dapat menunaikan hasrat suaminya yang bersemangat untuk mengundi.
Sebelum itu, kehadiran Zul di pusat pengundian itu mencuri tumpuan ramai apabila dia dibawa turun daripada ambulans menaiki katil beroda sebelum dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke saluran mengundi.
PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!