Mila Jirin tak puas hati dengan LHDN
SHAH ALAM - Usahawan yang dikenali sebagai Mila Jirin atau nama sebenar Norsyarmilla Jirin, 37, melahirkan rasa tidak puas hati dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana hadir ke kediamannya untuk diaudit pegawai bertugas.
Sedangkan kata Mila, beliau dan suami tidak pernah culas membayar cukai pendapatan mahupun syarikat yang diuruskan melalui ejen cukai setiap tahun.
Menurut Mila, ibu mentuanya menerima notis di bawah Seksyen 78 Akta Cukai Pendapatan daripada pegawai LHDN cawangan Negeri Sembilan yang datang pada 6 Mei lalu.
“Program Khas Sukarela 2.0 (SVD) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan melaporkan secara sukarela untuk pendapatan yang kurang dilaporkan.
“Sebagai balasan, tiada sebarang audit atau penyiasatan akan dilakukan kepada kami dengan penalti sifar.
“Jadi, saya dan suami ambil peluang ini dan ambil peluang untuk mengisytiharkan pendapatan yang kurang dilaporkan bagi saya, suami dan semua syarikat berkait,” katanya dalam satu perkongsian video di media sosial pada Khamis.
Tambah Mila, pegawai LHDN menyatakan beliau dan suami gagal mengisytiharkan cukai terkurang lapor sebelum notis hadir ke rumah itu dikeluarkan walaupun sudah dilaksanakan pada 9 Februari lalu.
Ujarnya lagi, ia dianggap sebagai satu penganiayaan kerana dia telah memenuhi syarat-syarat SVD yang ditetapkan.
“Jadi, di manakah keadilan untuk saya? Jika dibiarkan berlaku, saya pasti setiap tahun mesti akan diaudit, bagaimana (perniagaan) saya nak berkembang?
“Bagaimana saya mahu fokus dengan perniagaan saya dalam memacu ekonomi di negara ini?" soalnya.
Selain itu, Mila Jirin memaklumkan beliau sudah menghantar e-mel kepada Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin supaya pihaknya dapat melihat semula tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pegawai.
Mila yang juga penyanyi itu berkata, kehadiran pegawai ke kediamannya untuk mengaudit sudah dilaporkan kepada pihak polis supaya diberi peluang mendapatkan hak dan keadilan.
“Saya mohon agar kesucian SVD ini tidak dicacatcelakan dan dicemari oleh tindakan pegawai LHDN yang rakus mengejar petunjuk prestasi utama (KPI), tetapi lihatlah kami sebagai penyumbang pembangunan negara,” jelasnya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak LHDN mengenai isu terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!