'Kalau kakak sedar, mesti dia gembira'

Fauziah mendukung Nufail yang kini berusia dua tahun lima bulan di sebelah Jahidah yang koma sejak 2021.
Fauziah mendukung Nufail yang kini berusia dua tahun lima bulan di sebelah Jahidah yang koma sejak 2021.
A
A
A

SEREMBAN - Tiada anugerah paling terindah buat setiap wanita yang sudah berumah tangga melainkan mahu bergelar ibu dan begitu jugalah buat mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 45.

Namun dengan keadaan diri yang sedang hamil enam minggu ketika itu, dia didakwa dibelasah teruk oleh bekas suaminya sehingga membuatnya koma, lantas terus terbaring kaku di rumah.

Namun kuasa ALLAH, bayi lelaki di dalam kandungannya selamat dilahirkan dan kini berusia dua tahun lima bulan yang diberi nama Eshan Nufail.

Adiknya, Fauziah berkata, hasrat Jahidah untuk memiliki anak sendiri sudah tercapai, namun apa yang menyedihkan kerana dia tidak dapat memeluk cium dan memberi kasih buat anaknya.

Fauziah
Fauziah

"Kakak anak sulung dan dia berkahwin pun agak lewat ketika usianya 42 tahun.

"Sebelum disahkan mengandung, dia selalu nyatakan keinginannya pada kami adik-beradik yang dia nak sangat ada zuriat sendiri, tapi sedar mungkin susah kerana usianya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sendayan pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, berkat doa, Jahidah disahkan hamil selepas beberapa bulan berkahwin dan dia sangat teruja ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Kerana terlalu teruja, awal kehamilan itu pun kakak dah mula beli barang bayi sikit-sikit, tapi nampaknya dia tak dapat nak rasai perasaan seorang ibu itu.

"Kalau kakak sedar, mesti dia gembira sangat sebab akhirnya ada anak sendiri. Tapi sedihnya dengan keadaan dia begitu, mungkin dia tak tahu pun anaknya selamat dilahirkan,"katanya.

Tambah Fauziah, kakaknya itu sememangnya suka kepada kanak-kanak dan tidak lokek belanja anak-anak saudaranya.

Dia turut menyifatkan wanita berkenaan sebagai seorang kakak yang penyayang dan sangat bertanggungjawab kepada keluarga.

"Naluri keibuan kakak itu dah terserlah sebelum dia berkahwin lagi dan dia memang seorang kakak yang baik," katanya.

Ujar Fauziah, meskipun keadaan Jahidah begitu, namun dia selalu mengingatkan Nufail yang itu adalah ibu kandungnya.

Jelasnya, setiap hari dia akan meletakkan anak kecil itu di sisi Jahidah dan dengan kuasa ALLAH ada ketikanya kelihatan tindak balas antara mereka.

"Yalah, kadang-kadang itu, saya tengok mata kakak berkelip-kelip bila letak Nufail di sisinya.

"Tapi mungkin Nufail masih kecil nak faham apa yang berlaku dan saya sebagai ibu saudaranya akan cuba beri yang terbaik buatnya,"katanya.

Sementara itu suami Fauziah, Mohd Razi Mokhtar, 40, pula berkata, dia geram apabila mengenang penderitaan yang ditanggung kakak iparnya itu ditambah pula ketika itu sedang mengandung.

"Tak sepatutnya wanita mengandung diperlakukan begitu. Kalau fikir memang geram dibuatnya dan saya harap kakak ipar saya mendapat keadilan atas apa yang berlaku,"katanya.

Dalam kejadian 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma kerana kecederaan parah di kepala, selain rahang, tulang belakang dan rusuk retak akibat dipukul suaminya.

Lebih menyedihkan, ketika kejadian penjawat awam berkenaan sedang mengandung dan anaknya telah selamat dilahirkan secara pembedahan pada 30 November 2021.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!