Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran komitmen kerajaan martabat Islam

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyempurnakan gimik Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran (MTHQK) Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H / 2024M disini pada Sabtu. Foto Bernama
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyempurnakan gimik Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran (MTHQK) Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H / 2024M disini pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2024 Masihi di Pahang lambang manifestasi komitmen antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan syiar Islam terus dipertahan serta dimartabatkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha ini sekali gus mendukung ke arah pemerkasaan Islam seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tilawah ini merupakan manifestasi antara komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri untuk meneruskan agenda mempertahankan syiar Islam bukan sahaja di Pahang tetapi di Malaysia.

"Diharapkan kerjasama antara JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dapat kita kukuhkan serta pastikan majlis kali ini adalah yang terbaik,” katanya selepas prapelancaran majlis tilawah itu yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini pada Sabtu.

Majlis tilawah dan hafazan itu dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 23 Mei depan di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini dan dijangka dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengulas mengenai pembabitan peserta muda, Mohd Na’im berkata, sambutan sangat positif memandangkan lebih ramai golongan muda menyertai majlis kali ini.

Tilawah dan hafazan kali ini melibatkan seramai 110 peserta berusia antara 14 hingga 25 tahun dan setiap negeri diwakili lapan peserta iaitu dua bagi kategori tilawah serta enam untuk hafazan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.734 juta bagi penganjuran majlis itu termasuk duit poket RM1,000 kepada setiap peserta.

"Ini merupakan kali ketiga Pahang menjadi tuan rumah untuk majlis ini selepas penganjuran pertama pada 2011 dan kerajaan negeri turut menyumbang kira-kira RM2 juta bagi menjayakan majlis itu,” katanya sambil menambah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut menyumbang lima gram bar emas (hadiah tambahan) kepada johan semua kategori tilawah dan hafazan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!