Keselamatan pemain jadi keutamaan sepanjang musim Liga Malaysia

Saifuddin Nasution. Foto Bernama
Saifuddin Nasution. Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keselamatan pemain serta seluruh pasukan menjadi keutamaan polis sepanjang musim Liga Malaysia yang bermula semalam.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu mereka tidak perlu berasa bimbang tentang keselamatan susulan kes serangan melibatkan tiga pemain bola sepak baru-baru ini.

Saifuddin Nasution turut sekali lagi mengingatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi berhubung ketiga-tiga insiden terbabit dan menyerahkan siasatan kepada polis.

"(Sebelum ini, Ketua Polis Negara) Tan Sri Razarudin Husain juga telah memohon supaya tidak dilanjutkan apa-apa juga bentuk spekulasi kerana sudah tentu akan menjejaskan siasatan polis," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Hi-Tea Aidilfitri Bersama Persatuan Solidariti Nasional Kedah, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan secara menyeluruh khususnya bagi mendapatkan motif kejadian dan mengenal pasti sama ada wujud rancangan untuk menjadikan mana-mana pemain sebagai sasaran.

Saifuddin Nasution turut mengingatkan semua pihak untuk tidak memuat naik hantaran bersifat menanam kebencian dengan menyasarkan pemain di media sosial.

"Jadi kalau kesan daripada hantaran yang berulang-ulang bertujuan untuk membangkitkan kebencian nanti akan ada kelompok yang kemudiannya akan bertindak mengambil tindakan sendiri...tak boleh ada langsung perbuatan untuk mencetuskan spekulasi, itu sudah tentu akan mengganggu siasatan,” katanya.

Baru-baru ini, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim, disimbah asid dan disahkan mengalami lecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.

Artikel Berkaitan:

Insiden malang itu adalah yang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera kepala dan kaki selepas diserang serta disamun oleh dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Pada Selasa pula, pemain Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim diserang di Johor Bahru oleh dua lelaki menaiki motosikal yang bertindak memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!