Liga Super: Kedah benam PDRM di Selayang

Kedah meraih tiga mata berharga setelah menewaskan PDRM 1-0 dalam aksi Liga Super di Selayang pada Sabtu. Foto FC KDA FC
Kedah meraih tiga mata berharga setelah menewaskan PDRM 1-0 dalam aksi Liga Super di Selayang pada Sabtu. Foto FC KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) memulakan saingan Liga Super musim ini dengan langkah kanan apabila menumpaskan PDRM FC 1-0 di laman lawan Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebentar tadi.

Jaringan tunggal penyerang sensasi, Syafiq Ahmad sudah cukup buat pasukan bimbingan Nafuzi Zain untuk meraih kemenangan berharga ketika skuad Sang Kenari dikenakan pemotongan tiga mata.

Tindakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu susulan isu tunggakan gaji pemain skuad Sang Kenari.

Menariknya dalam perlawanan itu, Syafiq hanya memerlukan 33 saat untuk meledak gol terpantas dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) setakat ini.

Pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menyudahkan hantaran jauh dari kapten, Sony Norde untuk menewaskan penjaga gol The Cops, Bryan See.

Jaringan tersebut mendapat bantahan pemain-pemain PDRM yang mendakwa penyerang kebangsaan itu berada pada kedudukan ofsaid.

Namun gol tersebut disahkan oleh pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih menerusi sistem bantuan video pengadil (VAR).

Ketinggalan satu jaringan tidak mematahkan semangat pasukan tuan rumah, namun beberapa percubaan gagal menemui sasaran, selain cuaca hujan turut membataskan percaturan mereka.

Artikel Berkaitan:

Keputusan 1-0 kekal sebagai bekal semangat buat skuad Sang Kenari sebelum masuk ke bilik persalinan.

Memasuki babak kedua tidak banyak yang dapat dilakukan oleh para pemain kedua-dua pasukan memandangkan air yang bertakung di kawasan padang menyukarkan pergerakan mereka.

Biarpun skuad The Cops cuba bangkit, namun benteng pertahanan Kedah ampuh bertahan dan keputusan kekal memihak Sang Kenari dengan kemenangan tipis 1-0.

Badan bebas First Instance Body (FIB) pada 5 April lalu mengumumkan KDA dikenakan pemotongan tiga mata dan denda RM50,000 ekoran kelab itu gagal melunaskan tunggakan gaji bagi tahun 2023.

Para peminat bola sepak bakal disajikan dengan dua lagi aksi Liga Super malam ini.

Ia bermula dengan aksi Sri Pahang FC menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada jam 8.15 malam.

Terengganu FC pula bakal melayan kunjungan Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada jam 9 malam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!