Menteri arah TH siasat jemaah terkandas di Makkah

MOHD NA'IM
MOHD NA'IM
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan pihak Lembaga Tabung Haji (TH) menyiasat dan meneliti kes membabitkan 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji murah.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya bersimpati dan mengambil maklum kejadian yang menimpa semua mangsa ketika ini.

“Saya menasihatkan kepada semua mangsa yang terlibat di sana untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam negara supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengingatkan juga kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah menjadi satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya

Jelasnya, TH telah melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1445H/2024M dan ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.

"Umat Islam adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat yang dilantik sebagai PJH oleh pihak TH sahaja," katanya lagi.

Kira-Kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Makkah dilaporkan terkandas apabila agensi yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan ibadah itu pada musim ini.

Artikel Berkaitan:

Bakal jemaah haji terbabit menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej murah yang ditawarkan oleh agensi terbabit menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!