Usaha remajakan PKR perlu diteruskan, penuhi aspirasi anak muda - Fahmi

Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil (kanan) ketika sesi program Sembang Santai bersama Altimate di Karnival Sambutan 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sentul Depot pada Sabtu. Foto Bernama
Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil (kanan) ketika sesi program Sembang Santai bersama Altimate di Karnival Sambutan 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sentul Depot pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha ‘meremajakan’ PKR yang menginjak usia 25 tahun perlu terus dilaksana dengan memastikan setiap dasar, program dan aktiviti parti memenuhi aspirasi anak muda pada masa ini.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, untuk memastikan lebih ramai golongan itu berminat dengan perjuangan parti berkenaan, kepimpinan muda yang berbakat juga perlu ditonjolkan.

"Insya-ALLAH, kita akan berusaha untuk memahami dengan lebih mendalam apa isi hati anak muda terutama dalam keadaan sekarang yang kita tahu perubahan mendadak sedang berlaku dengan adanya teknologi kecerdasan buatan (AI) dan perubahan cara kita bekerja.

"Jadi perubahan-perubahan ini perlu kita ambil dan terapkan dalam aktiviti, program dan dasar yang ingin diperjuang oleh Keadilan (PKR)... Inilah yang saya lihat sebagai langkah seterusnya,” kata beliau.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita pada Malam Sambutan 25 Tahun PKR yang berlangsung di Depot Sentul di sini malam ini.

Majlis sambutan itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR, pemimpin tertinggi parti dan wakil komponen Kerajaan Perpaduan lain.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi juga berkata, meskipun PKR telah menyambut ulang tahun ke-25 namun masih banyak lagi yang perlu dicapai manakala pelbagai perkara yang direncanakan selama ini perlu diatur dan disusun sebaik mungkin.

Beliau berkata, seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, untuk melaksanakan perubahan atau reformasi tidak boleh bersikap tergopoh-gapah atau tergesa-gesa.

Artikel Berkaitan:

"Sejumlah perancangan Keadilan kita perlu ambil masa sebab sebahagian daripada perubahan yang ingin dibawa mesti mempunyai asas yang kukuh sama ada asas ekonomi yang baik dan sebagainya.

"Kita mesti uruskan aspek asas itu dahulu, insya-ALLAH ia akan berjalan dengan baik,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!