Menang PRK KKB: Kegembiraan tiga kali ganda buat Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR - Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada malam ini disifatkan sebagai 'triple happiness' atau kegembiraan tiga kali ganda buat Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, kejayaan gabungan itu mempertahan kemenangan di kerusi DUN berkenaan adalah satu lagi kegembiraan yang diraikan malam ini di samping Sambutan Ulang Tahun PKR ke-25 dan Ulang Tahun UMNO ke-78.
"Malam ini yang agak baiknya ialah Sambutan Ulang Tahun Keadilan ke-25 bersekali dengan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78, jadi kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di KKB adalah triple happiness,” katanya.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian kepada pemberita pada Malam Sambutan 25 Tahun PKR di sini malam ini.
Pertandingan empat penjuru dalam PRK KKB dimenangi calon PH daripada DAP Pang Sock Tao dengan majoriti 3,869 undi menewaskan Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!