NUSPM minta kerajaan beri kad pelaut kepada pesara pelaut

Gambar hiasan - Foto: Sumber Internet
Gambar hiasan - Foto: Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM – Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) memohon kerajaan memberi kad pelaut kepada pelaut yang sudah bersara sebagai tanda pengiktirafan kepada golongan itu yang kini seolah-olah dipinggirkan.

Setiausahanya, Zaini Nordin berkata, pemberian kad itu oleh Kementerian Pengangkutan kepada pelaut yang sudah bersara akan membolehkan golongan terbabit menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan kepada pelaut.

Menurutnya, kemudahan tersebut antaranya penginapan percuma di pusat pelaut, peluang menggunakan kemudahan rekreasi seperti gimnasium dan mendapat rebat di hotel-hotel tertentu.

“Pemberian kad pelaut secara rasmi membolehkan warga pelaut yang dipinggirkan ini boleh menggunakan kemudahan-kemudahan di pusat pelaut seluruh dunia.

“Hampir beribu-ribu pelaut tempatan tidak dapat belayar sekarang kerana sudah bersara dan ada antaranya mempunyai masalah kesihatan dan sebagainya.

"Mereka ini sudah tiada peluang untuk belayar, maka kerajaan harus memberi pengiktirafan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, golongan pesara pelaut berkenaan telah mengorbankan banyak tenaga dan masa mereka di laut sekali gus turut memberi sumbangan kepada negara dan apa yang mengecewakan golongan itu kini telah dilupakan dan dipinggirkan.

Dalam perkembangan sama, Zaini juga meminta pihak berkuasa menimbangkan supaya kad pelaut sah digunapakai untuk sepanjang hayat kerana menerusi peraturan dan amalan ketika ini kad pelaut seseorang pelaut akan tidak sah jika mereka tidak belayar lebih dari lima tahun.

Artikel Berkaitan:

“Harap pihak berkuasa memberi pertimbangan yang wajar dalam perkara ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!