PRK KKB petanda penolakan terhadap gelombang hijau - Pemuda Amanah
SHAH ALAM - Pemuda Amanah mendakwa keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menjadi petanda jelas bahawa lapisan masyarakat kini bersama Kerajaan Perpaduan dan menolak gelombang hijau.
Ketua Pemudanya, Mohd Hasbie Muda berkata, kaum bukan Melayu juga dilihat terus kukuh menyokong kerajaan pada hari ini.
“Keputusan PRK KKB petunjuk jelas rakyat menolak politik perkauman dan bersama agenda pembangunan Madani.
"PRK ini juga membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengembalikan kepercayaan penjawat awam sekali gus menjadi kayu ukur bahawa kerajaan hari ini berada di landasan tepat, di mana pertumbuhan ekonomi menjadi fokus utama dan agenda rasisme serta manipulasi agama ditolak sekeras-kerasnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Keputusan PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan calon PH, Pang Sock Tao menewaskan tiga lagi calon masing-masing dari Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia dan Bebas dengan majoriti 3,869 dengan undi 14,000 undi.
Pesaing terdekat dari PN, Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin Khairul Azhari mendapat 10,131 undi.
Dalam pada itu Hasbie turut mengucapkan tahniah kepada Sock Tao atas kemenangan serta berterima kasih buat petugas Suruhanjaya Pilihan Raya yang memastikan perjalanan pilihan raya berjalan dengan lancar.
“Ayuh seluruh rakyat Malaysia kita buktikan pada dunia bahawa negara Malaysia kita tercinta adalah sebuah negara madani mampu mengekalkan keharmonian dan kestabilan politiknya tanpa sebarang ugutan yang akan merencatkan usaha negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!