Lebih 100,000 penduduk tinggalkan Rafah

Penduduk Gaza terpaksa berpindah-randah lebih lima kali sejak tujuh bulan lalu.
Penduduk Gaza terpaksa berpindah-randah lebih lima kali sejak tujuh bulan lalu.
A
A
A

GENEVA - Lebih 100,000 penduduk Palestin telah meninggalkan Rafah sejak awal minggu lalu setelah kawasan itu terus dihujani bom.

Perpindahan berskala besar itu dilakukan setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengarahkan komuniti yang berlindung di kawasan tersebut supaya meninggalkan timur Rafah selepas unit kereta kebal bersama infantri rejim Zionis mula mara ke bahagian paling selatan Genting Gaza berkenaan.

Kebanyakan keluarga sudah menuju ke kawasan tengah dan utara Gaza sejak awal minggu lalu.
Kebanyakan keluarga sudah menuju ke kawasan tengah dan utara Gaza sejak awal minggu lalu.

Komuniti antarabangsa kini memberi tumpuan penuh terhadap perkembangan di Rafah yang menjadi tempat perlindungan kira-kira 1.5 juta penduduk yang hilang tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Georgios Petropoulos berkata, situasi di wilayah terkepung itu telah mencapai tahap kecemasan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kawasan al-Mawasi ditetapkan Israel sebagai 'zon selamat' yang kini menempatkan penduduk Gaza.
Kawasan al-Mawasi ditetapkan Israel sebagai 'zon selamat' yang kini menempatkan penduduk Gaza.

“Kumpulan tersebut menuju ke utara berikutan tiada lagi tempat mahu dituju. Sebahagian besar daripada mereka terpaksa berpindah-randah lebih lima kali sejak lebih tujuh bulan lalu kerana mahu melarikan diri daripada kempen pengeboman ganas rejim Zionis,” ujarnya.

Ketika ini, negara antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) selaku sekutu kuat Israel menggesa rejim Zionis supaya tidak meneruskan ofensif ke atas Rafah kerana dikhuatiri menyebabkan malapetaka lebih dahsyat.

Artikel Berkaitan:

Penyelaras Kanan Tabung Kecemasan Kanak-kanak PBB (UNICEF), Hamish Young menegaskan kempen pencerobohan ke atas Rafah tidak sepatutnya diteruskan.

“Saya telah meninjau zon al-Mawasi yang menempatkan kumpulan tersebut. Kawasan lapang itu yang turut disediakan khemah sudah terlalu sesak dan menyukarkan pergerakan,” jelasnya.

JETI AS SIAP DIBINA

Jeti terapung yang dibina tentera AS yang dianggarkan menelan kos AS$320 juta (RM1.5 bilion) bertujuan untuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui koridor maritim dilaporkan telah siap sepenuhnya.

“Pembinaan dua bahagian Logistik Bersama di Pantai (JLOTS) telah selesai dan menunggu pergerakan terakhir ke luar pantai Gaza,” Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh pada Selasa lalu.

Pembinaan jeti terapung itu yang bertujuan untuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dilakukan tentera AS pada bulan lalu.
Pembinaan jeti terapung itu yang bertujuan untuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dilakukan tentera AS pada bulan lalu.

Pusat Perintah AS (CENTCOM) bersiap sedia untuk memindahkan jeti tersebut dari Pelabuhan Ashdod dalam masa terdekat.

Kapal dan jeti terapung yang dalam pembinaan dipindahkan ke pelabuhan itu kerana cuaca buruk pada minggu lalu.

Di bawah pelan Washington, bantuan akan dihantar menggunakan kapal komersial ke platform terapung di luar pantai Gaza yang kemudiannya diangkut dengan kapal lebih kecil ke jeti tersebut.

Rancangan untuk pembinaan jeti itu pertama kali diumumkan Presiden AS, Joe Biden pada awal Mac lalu selepas Tel Aviv menyekat penghantaran bantuan ke Gaza.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di Rafah setelah rejim Zionis memperhebatkan kempen pengeboman di kawasan selatan Gaza.
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di Rafah setelah rejim Zionis memperhebatkan kempen pengeboman di kawasan selatan Gaza.

Difahamkan, Rumah Putih turut mengecam penutupan lintasan Rafah dan koridor Kerem Shalom (Karim Abu Salem) kerana berterusan menghalang akses bantuan ke Gaza.

PBB memberi amaran situasi di Gaza kritikal kerana bekalan penting termasuk makanan dan bahan api di Gaza dilaporkan semakin berkurangan di wilayah tersebut.

Pada awal minggu lalu, kakitangan agensi bantuan memberi amaran mengenai penutupan laluan Rafah dan Kerem Shalom yang dikhuatiri memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan di Gaza. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!