Kakak maut, adik parah kemalangan
KENINGAU- Seorang wanita maut manakala adiknya parah selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda di Batu 27 Jalan Keningau-Tenom, di sini awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Nurul Syakina Kasim, 22, yang juga pemandu kereta Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Zakaria Ahadin, 17, parah dan dihantar ke Hospital Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Keningau menuju ke Tenom.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Proton Wira dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan pacuan empat roda menyebabkan berlakunya pertembungan.
"Ekoran itu, pemandu kereta yang parah di bahagian kepala maut di lokasi kejadian manakala adiknya patah kaki kiri dan lengan bahagian kiri selain tidak sedarkan diri kini dirawat di zon merah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
"Kes masih dalam siasatan di bawah S41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!