Jepun cipta sejarah di Ipoh
JEPUN mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah buat pertama kali setelah menjinakkan Pakistan 4-1 menerusi penentuan penalti 'shoot-out' selepas terikat 2-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh pada Sabtu.
Penampilan keenam sejak 1987 dan pertama kali berada di perlawanan akhir, Jepun membuka akaun gol menerusi jaringan padang Seren Tanaka pada minit ke-12 untuk memimpin separuh masa pertama 1-0.
Bagaimanapun, Pakistan yang merupakan pasukan pilihan mengubah kedudukan menerusi sentuhan Ajaz Ahmad dan Abdul Rehman menerusi gol padang pada minit ke-34 dan ke-37.
Skuad Negara Matahari Terbit itu kemudiannya meningkatkan serangan dengan Kazumasa Matsumoto menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang pada minit ke-47.
Kedudukan 2-2 kekal memaksa perlawanan diheret ke penentuan 'shoot-out' menentukan juara.
Jepun memulakan pukulan penalti dengan Kosei Kawabe, Ryoma Ooka, Seren Tanaka dan Kazumasa Matsumoto menyudahkan jaringan manakala Rana Waheed Ashra, Arshad Liaqat dan ketua pasukan Ammad Butt gagal untuk Pakistan.
Sebagai rekod, Pakistan merangkul kejuaraan tersebut sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 1999, 2000, dan 2003.
Pengendali Jepun, Yoshihiro Anai berkata, pasukannya memperoleh pengalaman yang sangat berharga memenangi kejohanan itu yang akan menjadi penting dalam perjalanan untuk mencapai misi pingat emas pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di negaranya.
"Saya amat berbangga dengan setiap pemain kerana sikap mereka yang tidak pernah berputus asa untuk kekal berdisiplin sepanjang kejohanan ini," katanya.
Sementara itu, pengendali Pakistan, Roelant Oltmans berkata, anak buahnya menerima apa yang sepatutnya selepas gagal menyudahkan sekurang-kurangnya empat peluang keemasan semasa tempoh permainan.
INFO
Piala Sultan Azlan Shah 2024 Edisi 30
Juara
Jepun
Naib juara
Pakistan
Ketiga
New Zealand
Keempat
Malaysia
Penjaring Terbanyak
Azrai Aizad Abu Kamal (Malaysia) 8 gol
Penjaga Gol Terbaik
Takumi Kitagawa dan Takashi Yoshikawa (Jepun)
Pemain Terbaik
Muhammad Sufyan Khan (Pakistan)
Anugerah Fair Play
Kanada
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!