'Minum sini 50 sen, bungkus RM1'

Siti Nurul Jannah menunjukkan teh O ais 50 sen yang kekal pada harga itu sejak tujuh tahun lalu
Siti Nurul Jannah menunjukkan teh O ais 50 sen yang kekal pada harga itu sejak tujuh tahun lalu
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pengusaha kedai makan di Kampung Telong Kandis, Bachok di sini masih mengekalkan harga teh O ais atau teh O beng 50 sen sejak tujuh tahun lalu.

Siti Fatimah Mohd Owi, 40, berkata, harga itu berikutan mahu berkongsi rezeki dengan pelanggan selain niat bersedekah sebahagian daripada hasil jualannya.

Menurutnya, harga 50 sen ditetapkan kepada pelanggan yang mahu menikmati teh o beng terus di kedai itu tetapi RM1 jika diminta bungkus atau bawa pulang.

"Sebelum ini saya berniaga berdekatan pondok agama (sekolah agama) dan timbul niat kami untuk turut bersedekah dengan anak-anak di pondok itu," katanya ketika ditemui di kedai makannya pada Ahad.

Bagaimanapun, jelas Siti Fatimah, mereka kini sudah berpindah tidak jauh dari lokasi lama beberapa bulan lalu namun tetap dalam kampung yang sama.

Ibu kepada tiga anak itu memberitahu, setakat ini dia tidak berdepan kerugian malah kedainya menjadi lokasi pertemuan pelanggan bersama rakan-rakan selain pelajar di kawasan itu.

Katanya lagi perniagaannya dibantu dua rakan, Siti Nurul Jannah Wahab, 31, dan Fatin Nur Ain Ahmad, 30, yang sibuk melayan permintaan pelanggan setiap hari.

"Kami turut menjual pelbagai jenis air pada harga rata-ratanya di bawah RM2.50 serta masakan panas bermula pada harga RM3," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kedai makan Siti Fatimah yang dikenali sebagai Che Tie teh O beng 50 sen turut popular dengan roti canai dan nasi lemak untuk sarapan.

"Kebanyakan pelanggan yang singgah adalah mereka yang dalam perjalanan ke Pantai Melawi dan Tok Bali atau penduduk setempat yang mahu menikmati hidangan panas," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!