Pochettino yakin tidak dipecat
PENGENDALI Chelsea, Mauricio Pochettino menutup khabar angin mengenai masa depannya apabila berjaya mengemudi pasukan menang 3-2 ke atas Nottingham Forest, awal pagi Ahad.
Pochettino kelihatan lebih yakin tentang masa depannya bersama kelab itu walaupun sebelum ini dia dikecam teruk susulan persembahan hambar The Blues.
“Saya bercakap secara jujur dalam sidang media (Jumaat). Jika pemilik berpuas hati dengan pekerjaan saya, kami boleh teruskan.
“Saya sentiasa menjadi jurulatih yang berfikir jangka panjang. Semua orang mesti bersama untuk menjadi pasukan yang mampu bersaing. Saya masih mempunyai satu tahun lagi dalam kontrak saya dan saya berfikir untuk berada di sini," katanya.
Chelsea berada di tempat ketujuh dalam carta, mencerahkan untuk mendapat tempat dalam saingan Eropah musim depan.
Mereka bangkit daripada ketinggalan menerusi jaringan penyamaan Raheem Sterling pada minit ke-80 dan gol kemenangan Nicolas Jackson dua minit kemudian.
Jackson menanduk masuk hantaran silang tepat daripada kapten Reece James, yang bermain permainan pertamanya dalam tempoh lima bulan selepas menjalani pembedahan hamstring.
James kembali cergas yang juga memberi harapan kepada peluangnya untuk mendapat tempat dalam skuad England ke Euro 2024.
“Dia tidak bernasib baik kerana kami berada di penghujung musim dan hanya tinggal dua perlawanan lagi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!