Projek perumahan didakwa punca banjir lumpur

Kejadian banjir lumpur pada 30 April lalu menyebabkan laluan rumah penduduk bertukar menjadi 'sungai merah'. Foto ihsan pembaca
Kejadian banjir lumpur pada 30 April lalu menyebabkan laluan rumah penduduk bertukar menjadi 'sungai merah'. Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Pembangunan projek perumahan didakwa menjadi punca berlakunya banjir lumpur hingga menyebabkan kemusnahan harta benda melibatkan 16 keluarga di Taman Chepor Impian dekat Meru Raya di sini.

Projek penambakan dan meratakan tanah yang dilaksanakan pemaju sejak September tahun lalu menyebabkan kehidupan penduduk terutama di Laluan Chepor Impian 14 dan 15 kini sudah lagi tidak tenteram setiap kali hujan lebat.

Suri Rumah, Nor Ashikin Yusoff, 48, berkata, kejadian banjir kilat pada 30 April lalu disifatkan terburuk dialami mereka selepas 20 tahun mendiami perumahan tersebut.

"Ini kejadian keempat dialami penduduk dalam tempoh lapan bulan yang mana kebiasaannya air banjir kilat ini hanya bertakung di halaman, tidaklah sampai memasuki rumah.

"Dalam kejadian minggu lalu itu, laluan kami menjadi 'sungai merah' apabila air mencapai paras lebih 0.6 meter dalam tempoh beberapa minit sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Kaedah berkongsi longkang antara pemaju dan Taman Chepor Impian menyebabkan penduduk mengalami banjir kilat.
Kaedah berkongsi longkang antara pemaju dan Taman Chepor Impian menyebabkan penduduk mengalami banjir kilat.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila perkakas rumah tidak dapat diselamatkan.

"Setiap kali hujan kami perlu berjaga-jaga kerana bimbang rumah dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

"Kereta pula akan dialihkan ke tempat lebih tinggi kerana kami sudah tidak mampu menampung lebih banyak kerugian lagi," katanya.

Bagi peniaga, Sulaiman Abdullah, 61, dia mengalami kerugian lebih RM15,000 apabila benih pelbagai jenis bunga antaranya bunga kertas, pokok keladi dan ros jepun yang sedia dijual turut musnah ditenggelami banjir lumpur.

"Ribuan anak-anak pokok bunga yang diusahakan sejak empat tahun lalu musnah kerana air naik terlalu laju.

"Sekarang hendak jual pun tidak laku kerana daun-daun kekuningan dan mula rosak.

"Kerugian bertambah apabila persediaan untuk majlis perkahwinan anak kami turut musnah," katanya.

Penduduk, Wan Azizan Abdul Rahman, 54, mendakwa, tindakan pemaju yang tidak membina longkang monsun menyebabkan air mengalir masuk ke kawasan penduduk bersebelahan.

"Perumahan kami merupakan kawasan rendah jadi setelah pemaju meratakan tanah, air membawa lumpur akan mengalir laju masuk ke longkang perumahan.

"Berkongsi longkang ini bukan kaedah terbaik kerana tekanan di kawasan tinggi menyebabkan limpahan ke jalan-jalan serta air memasuki rumah menerusi lubang tandas," katanya.

Penduduk menunjukkan benteng pasir yang dibina pemaju beberapa hari lalu didakwa tidak akan bertahan lama bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang.
Penduduk menunjukkan benteng pasir yang dibina pemaju beberapa hari lalu didakwa tidak akan bertahan lama bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang.

Wan Azizan yang juga Setiausaha Pembangunan Surau Ar-Raudah berkata, aduan telah disalurkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pihak pemaju dan wakil rakyat.

"Usaha pemaju membina benteng pasir beberapa hari lalu bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi tempoh jangka panjang terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini.

"Selain itu, pemaju juga perlu memasang pagar sebagai langkah keselamatan kerana kanak-kanak boleh memasuki kawasan tapak projek itu dengan mudah," katanya.

Tambahnya, penduduk tidak menghalang sebarang pembangunan tetapi biarlah pelaksanaannya mengikut prosedur.

"Sekiranya pemaju membuat penilaian risiko terlebih dahulu, sudah tentu projek yang dilaksanakan tidak menjejaskan penduduk berhampiran.

"Sekarang kita sudah boleh nampak kejadian banjir ini mula kerap berlaku dan kami tidak boleh bayangkan jika sudah baik bangunan nanti," katanya.

Sementara itu, MBI ketika dihubungi mengesahkan telah mengeluarkan notis kepada kepada pihak pemaju berikutan aduan banjir kilat yang diterima.

"MBI telah keluarkan notis kepada pemaju minggu lepas untuk mengambil langkah mitigasi mengikut pelan kelulusan kerja tanah.

"Tindakan lanjut penguatkuasaan akan dilaksanakan segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!