10 pelajar terselamat bilik asrama terbakar
HULU TERENGGANU - Seramai 10 pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kuala Berang, di sini, berjaya menyelamatkan diri selepas asrama mereka dijilat api.
Kebakaran pada jam 3.30 pagi Ahad itu menyebabkan bilik yang menempatkan pelajar lelaki berkenaan musnah 70 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zulhisham Mohamad Yusof berkata, sejurus menerima panggilan seramai 15 kekuatan dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang digegaskan kelokasi kejadian.
Katanya, kebakaran itu melibatkan sebuah bilik asrama, bagaimanapun, kesemua pelajar berjaya keluar menyelamatkan diri.
"Kebakaran itu telah menyebabkan sebuah bilik asrama yang berkeluasan 20x20 kaki telah musnah terbakar sehingga 70 peratus dan seramai 10 orang pelajar berjaya keluar daripada bangunan asrama dalam keadaan selamat.
"Pasukan bomba telah bertindak menjalankan operasi pemadaman kebakaran dengan menggunakan sumber air daripada pam jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya. Operasi pemadaman tamat pada jam 5.46 pagi," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!