Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bakal dibangunkan di Iskandar Malaysia, Pengerang
ISKANDAR PUTERI - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan dibangunkan di kawasan berkeluasan 3,505 kilometer persegi di Iskandar Malaysia dan Pengerang.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kawasan JS-SEZ itu akan membabitkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kulai dan Kota Tinggi.
"Sebanyak 16 sektor ekonomi yang dijangka dapat memberikan limpahan ekonomi membabitkan sektor elektrik dan elektronik, perubatan, farmaseutikal, penerbangan, kimia khusus, logistik kesihatan dan pendidikan.
"Selain itu adalah sektor kewangan dan perkhidmatan perniagaan; tenaga; ekonomi digital; pelancongan, makanan, teknologi pertanian, industri kreatif, industri halal dan perkilangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini pada Ahad.
Sebelum itu, Hasrunizah Hassan (BN-Pulai Sebatang) bertanya mengenai status dan perkembangan terkini pelaksanaan JS-SEZ.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan perjanjian JS-SEZ ini dapat dimuktamad dan ditandatangani bersama Singapura, akhir tahun ini.
Katanya, memorandum persefahaman antara Malaysia dan Singapura berhubung pembangunan JS-SEZ telah ditandatangani pada 11 Januari yang lalu ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong.
"Sesi rundingan rasmi berhubung JS-SEZ bersama Singapura pula dijadualkan akan bermula bulan depan.
"Insya-ALLAH, satu sesi babit urus juga akan diadakan oleh Kerajaan Johor dan Kementerian Ekonomi bersama semua ADUN Johor dan pemimpin masyarakat yang dijadualkan bulan hadapan.
"Saya percaya sesi itu akan menjadi platform yang terbaik untuk Ahli Yang Berhormat memberikan maklum balas, cadangan dan pandangan bagi memastikan pelaksanaan JS-SEZ benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Johor," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!