Warga KKB harap ADUN baharu jalankan tanggungjawab dengan cekap
HULU SELANGOR - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), menaruh harapan agar wakil rakyat baharu mereka Pang Sock Tao, mampu menggalas tanggungjawab dengan cekap dan amanah.
Harapan itu dinyatakan beberapa penduduk yang dalam masa sama mahu isu setempat diambil perhatian serius, selain mahu kemajuan di KKB dipertingkatkan.
Pesara kerajaan, V Aru, 64, yang mengharapkan masalah bekalan air terputus di sekitar kawasan Padang Tembak, di sini diatasi berkata, beliau yakin wakil rakyat baharu itu, mampu memberikan jalan penyelesaian kepada permasalahan berbangkit, memandangkan Sock Tao merupakan jambatan bagi penduduk KKB dengan kerajaan negeri dan pusat.
"Saya juga berharap beliau dapat menunaikan janji manifestonya, untuk melantik wakil setiap kaum di dalam pasukan pusat khidmat.
"Selain itu, jika boleh diambil perhatian ialah mengenai hal pekerjaan. Banyak anak muda (di sini) mencari pekerjaan, (mereka) memohon (jawatan kosong) tapi tak ada jawapan pun. Jadi macam kurang peluang pekerjaan di sini,” katanya kepada Bernama.
Penjawat awam, M Jeeva, 43, pula berharap Sock Tao, 31, dapat memudahkan urusan penduduk khususnya golongan miskin dan warga emas, yang memerlukan bantuan.
"Pejabat Khidmat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), perlulah sentiasa ada petugas bagi memudahkan masyarakat mendapatkan bantuan. Saya juga berharap Sock Tao mampu menyelesaikan masalah rakyat termasuk kaum India di kawasan ini,” katanya.
Bagi pesara polis, V K Krishnamoorthy, 70, beliau berharap soal kebajikan rakyat KKB terus menjadi keutamaan Sock Tao dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.
"Bagi saya yang paling mustahak ialah dia harus memikirkan soal kebajikan, jaga orang miskin dan mungkin boleh tengok pembangunan yang boleh dilakukan di sekolah-sekolah,” katanya yang telah menetap lebih 50 tahun di KKB.
Bagi Nuroul Nadiah Zulkifli, 37, beliau berkata, Sock Tao perlu meneruskan legasi bekas penyandang terdahulu Lee Kee Hiong, dengan membawa lebih banyak pembangunan selain memperhebatkan lagi daya tarikan pelancongan ke KKB, sekali gus dapat membantu menjana ekonomi masyarakat setempat.
"Mendiang Lee dahulu memang buat kerja bersungguh-sungguh dan telah menaikkan imej KKB, dengan mengetengahkan aktiviti rekreasi dan ia berjaya menaikkan jumlah pengunjung yang datang ke sini,” katanya.
Pada PRK itu, Sock Tao yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia). - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!