Permulaan kebangkitan Syafiq Ahmad
PENYERANG Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad bertekad untuk menampilkan persembahan lebih tajam supaya dapat kembali membarisi skuad Harimau Malaya.
Menurutnya, kejayaan meledak gol tunggal yang juga gol kemenangan ketika menewaskan PDRM FC dalam aksi pembukaan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu merupakan permulaan untuknya kembali bangkit.
"Ini adalah permulaan yang baik untuk diri saya dan juga rakan-rakan. Dengan momentum seperti ini saya harap pasukan dapat teruskan lagi rentak kemenangan untuk perlawanan akan datang.
"Saya juga mahu menonjol lagi dan semoga saya dapat beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan supaya dapat kembali beraksi bersama pasukan Harimau Malaya," katanya.
Syafiq kembali ke KDA FC secara pinjaman daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bakal bersama skuad kendalian Nafuzi Zain itu untuk saingan liga musim ini.
Ia juga menjadi medan untuk Syafiq bangkit selepas gagal mendapatkan minit permainan bersama JDT selain tidak lagi terpilih sebagai penggempur utama skuad Harimau Malaya dalam beberapa tugasan antarabangsa akhir-akhir ini.
Dalam pada itu, Syafiq juga berterima kasih kepada rakan sepasukan yang membantunya mendapatkan jaringan pertama dalam perlawanan itu.
"Alhamdulillah dengan rezeki (gol) yang diberikan. Perasaan itu luar biasa dengan bantuan rakan-rakan yang bersungguh-sungguh untuk dapatkan jaringan awal," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!