Dilucutkan jawatan selepas ajak YouTuber wanita ke hotel
JAKARTA - Seorang pegawai kerajaan telah dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pejabat Unit Pengurusan Lapangan Terbang (UPBU) Sangia Nibandera Kolaka, selepas tular video memaparkan tindakannya menggoda YouTuber wanita dari Korea Selatan dan mengajaknya ke hotel.
Mengesahkan perkara berkenaan, Kementerian Pengangkutan Indonesia dalam satu kenyataan turut melahirkan rasa kesal mereka di atas insiden yang membabitkan kakitangannya itu.
"Perlakuannya itu telah mencemarkan nama institusi ini.
"Dia kini juga masih menjalani siasatan bagi memastikan kesahihan sebenar daripada kejadian berkenaan," kata jurucakap kementerian, Adita Irawati.
Terdahulu, klip tersebar di media sosial itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan warganet.
Menerusi video terbabit, YouTuber wanita terbabit pada awalnya dilihat sedang duduk menikmat hidangan di sebuah restoran dipercayai dekat Manado, Sulawesi Utara, Indonesia.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, dia bertegur sapa dengan beberapa individu lain yang duduk di hadapan mejanya.
Wanita itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Jiah juga kemudiannya duduk di sebelah individu terbabit.
Dalam perbualan tersebut, lelaki berkenaan yang berkepala botak itu didengar mengajak wanita itu untuk pergi ke hotel. - Agensi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!