Hentikan keganasan terhadap ahli sukan - Lam Thye

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Trend keganasan terhadap ahli sukan perlu dihentikan agar negara tidak terus dicemari insiden jenayah akibat ketaasuban yang melampau.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, keganasan terhadap mana-mana manusia tidak sepatutnya wujud dalam negara ini.

"Apatah lagi keganasan sebegini berlaku dalam sukan yang mencetuskan semangat bersatu padu dan membawa kepada kebaikan tetapi dicemari oleh trend keganasan kerana ketaasuban yang melampau.

"Perlu wujud kemanusiaan yang tinggi dalam diri masyarakat Malaysia supaya jenayah yang boleh membunuh karier seorang ahli sukan ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jenayah terhadap pemain bola sepak negara dilihat membimbangkan susulan beberapa insiden yang berlaku bermula pada 2 Mei lalu apabila pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki serta mengalami kerugian lebih RM4,800 setelah disamun dua lelaki bersenjata di Kuala Terengganu.

Kemudian pada 5 Mei 2024, pemain Selangor FC, Faisal Halim melecur tahap empat akibat disimbah asid di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Selangor.

Dua hari selepas itu, kenderaan milik pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim pula ditimpa malang apabila cermin keretanya dipecahkan menggunakan tukul besi setelah diserang oleh dua lelaki bermotosikal di Padang Seri Gelam, Johor Bahru.

Lam Thye berkata, masyarakat harus menanamkan semangat empati berhubung kejadian yang menimpa Faisal kerana masih wujud pihak yang mempertikai dan menggelar kes itu sebagai insiden biasa dalam bola sepak.

Artikel Berkaitan:

"Mencederakan sesiapa sahaja adalah jenayah dan tidak boleh dianggap biasa.

"Sesiapapun layak mendapat perubatan yang sewajarnya apabila disimbah asid sulfurik yang bahaya," katanya.

Pada masa sama, katanya, kredit harus diberikan kepada anggota polis yang bersungguh-sungguh melakukan penyiasatan dan membawa keadilan kepada mangsa yang terlibat.

"Ditambah dengan semangat proaktif menyediakan tambahan 1,500 anggota keselamatan untuk sebuah perlawanan bola sepak menunjukkan kesungguhan anggota awam kita dalam memberi perlindungan terbaik bukan sahaja kepada pemain bola sepak malah kepada seluruh peminat sukan ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!