'Lelaki Everest' cipta rekod kali ke-29

Kami Rita Sherpa mula mendaki Everest sejak 20 tahun lalu. - Foto AFP
Kami Rita Sherpa mula mendaki Everest sejak 20 tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

KATHMANDU - Pendaki Nepal, Kami Rita Sherpa tiba di kemuncak Gunung Everest buat kali ke-29 pada Ahad, sekali gus memecahkan rekodnya sendiri.

“Kami Rita mencipta rekod baharu lagi,” menurut penganjur ekspedisi beliau, Mingma Sherpa di Seven Summit Treks.

Beliau telah menjadi jurupandu di punca tertinggi di dunia itu selama lebih dua dekad dan turut menerima julukan 'Lelaki Everest' setelah berjaya menawan ketinggian 8,849 meter (m) tersebut pada 1994 ketika berkhidmat untuk ekspedisi komersial.

Sejak 20 ahun lalu, Kami Rita tidak pernah melepaskan peluang untuk menjadi jurupandu para pendaki yang mahu 'menguasai' Everest.

“Kembali lagi di puncak tertinggi di dunia buat kali ke-29. Pekerjaan saya yang menjadi impian lelaki,wanita lain,” ujarnya menerusi catatan di Instagram ketika berada di kem pangkalan pada minggu lalu.

Pada tahun lalu, Kami Rita, 54, mendaki Everest sebanyak dua kali untuk mengatasi rekod sama yang dipegang rakan seangkatannya, Pasang Dawa Sherpa.

Beliau pernah memberitahu, niat asalnya adalah mahu 'bekerja' sebagai malim gunung dan tidak pernah merancang mahu mencipta rekod seperti sekarang.

Kami Rita juga pernah menawan puncak kedua mencabar di dunia, setinggi 8,000m iaitu gunung K2 di Pakistan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Nepal telah mengeluarkan sebanyak 414 permit untuk musim mendaki pada tahun ini yang berlangsung bermula April hingga awal bulan depan.

Dianggarkan lebih 800 pendaki yang diiringi malim gunung etnik Sherpa akan menyertai ekspedisi pada 2024 untuk tempoh beberapa minggu akan datang selepas laluan menuju ke puncak Everest dibuka pasukan terdiri daripada 10 pendaki Nepal pada lewat Jumaat lalu.

“Pasukan lain juga mula bergerak dan kebanyakannya sudah tiba di Kem 2.

"Keadaan cuaca diramalkan baik sehingga Selasa dan lebih 100 pendaki dijangka mengambil peluang untuk sehingga tempoh itu,” kata Ketua Pejabat Lapangan Kem Asas, Khim Lal Gautam.

Pada tahun ini, China juga membuka laluan Tibet untuk warga asing sejak penutupan kerana pandemik Covid-19 pada 2020. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!