5,535 karton rokok seludup bernilai RM1.37 juta dirampas

Kumar (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di sebuah pondok di tepi pantai selepas sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru pada Ahad
Kumar (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di sebuah pondok di tepi pantai selepas sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru pada Ahad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis merampas 5,535 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM1.37 juta termasuk cukai dalam satu serbuan di sebuah pondok di Pantai Bio, Desaru, Kota Tinggi pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan menerusi Ops Taring Landai dilakukan Unit Risik Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang pada jam 9 malam.

"Semasa serbuan dilakukan seorang suspek lelaki di pondok berkenaan menyedari kehadiran polis dan bertindak melarikan diri. Pondok itu dipercayai dijadikan tempat pemunggahan.

"Hasil pemeriksaan menjumpai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Kembara dan 5,535 karton rokok mengandungi 914,600 batang putih serta kretek tidak berkastam dengan nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan RM1.37 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi pada Ahad.

Menurutnya, hasil maklumat diperolehi rokok itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui laluan laut sebelum mendarat di perairan Kota Tinggi untuk pasaran tempatan dan kegiatan terbabit disyaki baru dilakukan penjenayah kira-kira dua minggu lalu.

“Kesemua rokok seludup dan kenderaan yang dirampas dan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak Januari sehingga 12 Mei lalu, polis Johor merampas rokok dan minuman keras seludup berjumlah RM4.1 juta dengan 31 kes berkurang sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu RM5.9 juta membabitkan 44 kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!