Orang ramai mula lakukan proses pindah wang ke Akaun Fleksibel
SHAH ALAM - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak menunggu lama untuk memindahkan wang simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel selepas ia dilancarkan pada Ahad.
Tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati, rata-rata pencarum sudah mula melakukan proses tersebut secara dalam talian menerusi aplikasi KWSP i-Akaun dan laman sesawang KWSP.
Penyelia khidmat pelanggan, Muhammad Nizam, 38, berkata, proses menggunakan aplikasi i-Akaun sangat mudah dan hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk selesai.
"Syukur alhamdulillah sebab memang tengah memerlukan wang, saya harap pelaksanaan Akaun 3 ini diteruskan pada masa akan datang kerana sangat berguna ketika kecemasan.
"Apabila ada potongan sebanyak 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel, ia umpama ada duit simpanan tanpa perlu menggunakan duit daripada gaji yang diperoleh," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bagi pekerja swasta, Norazlila Daisin, 40, walaupun mengalami kekeliruan di permulaan tetapi setelah membaca arahan yang disediakan di setiap ruang menjadikan proses tersebut lebih mudah.
Tambahnya, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk membenarkan pemindahan daripada Akaun Pesaraan ke Akaun Fleksibel kerana tidak semua pencarum mempunyai jumlah wang yang tinggi dalam Akaun Sejahtera.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Mohd Rushdi Rosli, 32, memaklumkan prosedur yang ditetapkan adalah mesra pelanggan yang mana pencarum boleh membuat keputusan sendiri sama ada mahu melakukan pemindahan wang ke Akaun 3 atau tidak.
Ujar beliau, pencarum perlu bijak dalam menguruskan kewangan dengan baik kerana keadaan ekonomi setiap masa tidak menentu dan ada pasang surutnya.
Bagi operator kilang, Fatin Nor Hidayah Ariffin, 25, penerangan yang jelas di setiap ruang menjadikan proses awal pemindahan wang ke Akaun 3 lebih mudah dan senang untuk difahami.
"Saya berasa sedikit lega sebab dengan ekonomi sekarang mungkin dengan cara ini dapatlah saya selesaikan sedikit sebanyak masalah kewangan yang dihadapi.
"Proses sangat mudah, dua hingga tiga minit sahaja. Saya bersyukur dengan inisiatif ini, bolehlah daripada tiada.
"Diharapkan pada masa akan datang kerajaan lebih prihatin dan cakna dengan masalah rakyat kerana tak semua orang ada baki banyak dalam Akaun 2 atau selaraskan kenaikan gaji," katanya.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pencarum mendakwa mereka gagal untuk meneruskan prosedur yang ditetapkan apabila kod pengesahan transaksi (TAC) tidak diterima menggunakan aplikasi i-Akaun KWSP.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, KWSP memperkenalkan akaun Fleksibel bagi membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.
Menurut kenyataan KWSP, permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.
Tujuan pemberian pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu.
Amaun yang akan dipindahkan adalah berdasarkan baki Akaun Sejahtera ahli semasa pilihan ini dibuat.
Kaedah pindahan dilakukan mengikut dua pecahan iaitu pertama baki ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera manakala yang kedua baki dalam akaun sama adalah kurang dari RM3,000.
Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan bermula 12 Mei sehingga 31 Ogos 2024 dan ia hanya boleh dibuat sekali sahaja pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut serta tidak boleh dibatalkan.
Untuk maklumat lanjut, orang boleh melayari www.kwsp.gov.my atau aplikasi KWSP i-Akaun untuk merujuk soalan lazim yang telah disediakan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!