Balai polis baharu dibina di Kampung Angkat Madani KDN
LENGGONG - Pembinaan balai polis baharu antara projek yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi inisiatif Kampung Angkat Madani di Kampung Beng di sini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di tapak tanah yang diluluskan kerajaan Perak menggunakan sebahagian dana RM2.5 juta yang diperuntukkan dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, keperluan mewujudkan balai polis baharu adalah tepat selari dengan pembangunan kawasan Kampung Beng dan sekitarnya sebagai lokasi tumpuan pelancong.
"Saya dimaklumkan kampung ini juga akan bertambah sibuk kerana nanti akan ada jalan baharu yang membolehkan laluan ke Pantai Timur melewati kawasan ini.
"Jadi ini masa yang betul sebagai langkah kita meningkatkan keselamatan penduduk dan pengunjung.
"Tahun ini kita akan adakan pondok polis dahulu kemudian apabila siap laluan utama, pondok ini akan dinaik taraf kepada balai polis sesuai dengan keperluan kekuatan anggota dan nisbah penduduk di kawasan ini," katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani KDN Kampung Beng di Jeti Pengkalan Pipit dekat sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Saifuddin berkata, pemilihan Kampung Beng sebagai kampung angkat seliaan KDN adalah berdasarkan potensi besar yang dimiliki kawasan itu untuk dibangunkan secara intensif terutama aspek prasarana dan akses kepada komunikasi.
Katanya, bagi mencapai matlamat itu, KDN juga menyusun beberapa inisiatif lain untuk dimanfaatkan penduduk kampung termasuklah menaik taraf kemudahan internet dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
Ujar beliau, komponen lain yang diberi perhatian adalah menyediakan kemudahan dua bot bagi tujuan rondaan pemantauan keselamatan di jeti dan tasik yang menjadi laluan utama pelajar sekolah.
"Kita akan buat perolehan baharu bagi mendapatkan bot polis yang sesuai malah kita juga menimbang untuk semak rekod inventori dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekiranya mereka mempunyai bot-bot yang sesuai digunakan bagi tujuan rondaan di tasik ini," katanya.
Beliau memberi jaminan, semua projek berkenaan yang memberi manfaat kepada hampir 4,000 penduduk dilaksanakan dalam tempoh tahun ini juga.
"Ini semua adalah komponen yang boleh kita ukur. Kita akan cuba selesaikan bermula sekarang hingga Disember nanti, " katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!