Malaysia berterus terang kepada AS berdasarkan fakta

Saifuddin Ismail berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani KDN Kampung Beng di Jeti Pengkalan Pipit, hari ini. Foto Bernama
Saifuddin Ismail berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani KDN Kampung Beng di Jeti Pengkalan Pipit, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

LENGGONG - Pertemuan Malaysia dengan Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson pada 9 Mei lalu berlangsung dalam keadaan terus terang.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak dalam menyatakan pendirian masing-masing dilakukan berasaskan kepada fakta.

Menurutnya, antara penekanan yang diberikan termasuklah pendirian Malaysia yang hanya mengiktiraf perintah sekatan dibuat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Dalam pembentangan itu, disebutkan beberapa perkara.

"Dia (Brian Nelson) boleh saja menyebut atau mengemukakan apa-apa dan menjadi tanggungjawab kita pula memberikan pandangan dan pendirian itu.

"Paling penting, proses pertemuan yang berlaku itu adalah pertemuan yang berterus terang dan berasaskan kepada fakta.

"Saya menyampaikan sepertimana yang sepatutnya saya sampaikan bagi pihak kerajaan.

"Sama ada diterima atau tidak, itu kena tanya Brian Nelson," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani KDN Kampung Beng di Jeti Pengkalan Pipit dekat sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Saifuddin berkata, Malaysia menghargai hubungan baik dengan Amarika Syarikat yang mempunyai sejarah diplomatik panjang dalam perdagangan, ekonomi dan keselamatan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya mana-mana individu berura-ura mahu mengenakan perintah sekatan berpandukan kepada maklumat satu pihak, Malaysia dengan tegas menyatakan bahawa polisi kerajaan tidak menerima pakai perintah sekatan tersebut.

"Kita dengar (pembentangan) mereka sebagai satu maklumat sebab perkara disebutkan itu berlaku dalam negara kita.

"Kita pun ada kekuatan perisikan yang tersendiri seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Bahagian Kajian dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri.

"Jadi sudah tentu maklum balas saya adalah untuk ambil maklum tentang pendedahan maklumat diberikan dan adalah munasabah untuk negara teliti dulu perkara didedahkan. Itu yang saya terangkan," katanya.

Pada 9 Mei lalu, Saifuddin berjumpa Brian Nelson dan delegasinya antara lain bagi mendengar maklumat serta perincian dari AS berhubung dakwaan wujud aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas melalui sistem kewangan Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!