Azeem bantu kuartet Universiti Auburn raih perak
PELARI pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menampilkan larian bertenaga bagi membantu kuartet 4x100 meter (m) lelaki Universiti Auburn meraih perak Kejohanan Balapan dan Padang Southeastern Conference (SEC) di Florida, Amerika Syarikat pada Ahad.
Pemenang gangsa 100m lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 itu yang berlari bersama Favour Ashe, Makanaishe Charamba dan Kanyinsola Ajayi, merekodkan 38.55 saat (s) iaitu catatan kelima terbaik dalam sejarah universiti tersebut.
Ia juga merupakan rekod terbaik buat Universiti Auburn dalam penampilan SEC sejak 1997.
Kuartet dari Louisiana State University (LSU) yang dibarisi Myles Thomas, Da'Marcus Fleming, Jaiden Reid dan Godson Oghenebrume meraih emas dengan catatan 38.19s.
Sementara, kuartet dari Universiti Florida dibarisi JeVaughn Powell, Wanya McCoy, Caleb Foster, Robert Gregory meraih gangsa dengan catatan 38.73s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!