Banjir kilat luar biasa landa Afghanistan
KABUL - Banjir kilat melanda beberapa wilayah di Afghanistan yang kini diisytiharkan darurat telah meragut lebih 300 nyawa.
Hujan lebat luar biasa telah menyebabkan paras air sungai melimpah dan aliran lumpur di kebanyakan perkampungan serta kawasan pertanian di sejumlah provinsi.
Baghlan yang paling teruk terjejas merekodkan lebih 200 mangsa dilaporkan terbunuh dan ribuan rumah rosak atau musnah.
“Kira-kira 1,500 rumah binasa akibat bencana tersebut dan lebih 100 penduduk maut,” kata Pegawai Program Kebangsaan yang mengetuai Tindak Balas Kecemasan di bawah Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Mohammad Fahim Safie.
Sementara itu, jurucakap pemerintah Taliban, Zabihullah Mujahid menerusi platform X mengesahkan ratusan penduduk terkorban dalam banjir lumpur dahsyat itu.
Cuaca buruk pada Jumaat turut menyebabkan kemusnahan besar di wilayah Badakhshan, tengah Ghor dan barat Herat.
Pasukan keselamatan turut dikerah untuk membantu mangsa cedera dan mereka yang terkandas dalam bencana tersebut.
“Ia telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada penduduk di kawasan terjejas banjir,” ujar Ketua Jabatan Pengurusan Bencana Alam di provinsi Takhar, Ahmad Seyar Sajid.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengarahkan beberapa cawangan untuk menyediakan apa juga bentuk bantuan kepada mangsa dengan menggunakan segala sumber yang ada.
Pasukan Tentera Udara juga menjelaskan, pihaknya melancarkan operasi pemindahan selepas cuaca agak baik pada Sabtu, malah lebih 100 mangsa cedera sudah dipindahkan ke hospital berhampiran.
“Kami turut mengagihkan bekalan penting termasuk makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk terkesan banjir itu selepas perintah kecemasan tersebut dikuatkuasakan,” ujar kementerian tersebut.
Rakaman video yang dikongsi secara meluas di media sosial menunjukkan arus deras banjir berlumpur tersebut menghanyutkan segala harta benda termasuk rumah penduduk.
Sejak pertengahan bulan lalu, Kabul telah dilanda banjir yang turut mengorbankan kira-kira 100 mangsa di 10 wilayah dan tiada provinsi yang terhindar daripada bencana tersebut.
Selain itu, kawasan pertanian yang menjadi sumber pen-dapatan utama kira-kira 80 peratus daripada lebih 40 juta penduduk di negara itu juga tenggelam dan musnah sama sekali.
Tanah di Kabul dikatakan sukar untuk menyerap hujan kerana negara tersebut mengalami musim sejuk agak kering.
Negara yang terletak di antara Asia Tengah dan Selatan itu dilanda peperangan selama empat dekad, dan merupakan salah sebuah negara termiskin di dunia yang paling rentan menghadapi impak pemanasan global. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!