Haji paling bermakna buat suami isteri, anak

Muhd Atiqullah (tengah) bersama Mohd Nasir dan Ruzila ketika ditemui media sempena ziarah luar Madinah, Sabtu lalu.
Muhd Atiqullah (tengah) bersama Mohd Nasir dan Ruzila ketika ditemui media sempena ziarah luar Madinah, Sabtu lalu.
A
A
A

MADINAH - Ibadah haji bagi Mohd Nasir Yusof dan isteri Ruzila Ab Halim pada tahun ini cukup bermakna apabila dapat bertemu anaknya, Muhd Atiqullah yang merupakan pelajar tahun kedua Universiti Islam Madinah.

Lebih manis apabila program ziarah khusus untuk jemaah haji turut dipimpin anaknya yang sudah lebih setahun berjauhan dengan mereka.

Mohd Nasir berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat bertemu anaknya yang berkhidmat sebagai muzawwir untuk musim haji 1445H/2024M.

Menurut jemaah dari Kelantan ini, pertemuan dengan anaknya menjadi suratan takdir yang sudah tertulis lebih-lebih lagi selepas menolak tawaran haji pada tahun 2023.

"Kami sepatutnya menunaikan haji tahun lepas lagi. Akan tetapi kami tolak atas sebab-sebab tertentu dan tidak sangka pula menerima sekali lagi tawaran pada tahun ini.

“Paling tidak disangka-sangka apabila saya sendiri tidak pernah pun membuat rayuan untuk pergi tahun ini. Inilah yang dikatakan sebagai suratan dan sudah menjadi ketentuan ALLAH SWT," katanya kepada media ketika program ziarah luar Madinah, Sabtu lalu.

Pasangan tersebut merupakan jemaah haji daripada kumpulan penerbangan KT1 yang tiba di Madinah pada Jumaat lalu.

Anaknya Muhd Atiqullah antara 88 penuntut Universiti Islam Madinah yang berkhidmat sebagai muzawwir dengan memainkan peranan memberi penerangan kepada jemaah haji Malaysia ketika berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di Madinah.

Artikel Berkaitan:

“Kami rasa bertuah kerana penangguhan ini membolehkan anak saya menjadi mutawif, jika pada 2023 saya dan suami terima tawaran haji mungkin anak saya tidak dapat sertai kerana masih berada dalam tahun pertama pengajian,” kata Ruzila.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, dia pernah membawa anaknya itu ke Madinah 10 tahun lalu sebagai hadiah kepadanya selepas berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran.

“Ketika saya bawa dia ke sini (Madinah), saya katakan kepadanya macam mana pun awak perlu belajar di Madinah.

“Lagipun untuk datang dan belajar di Madinah bukan perkara mudah. Jadi perlu usaha keras.Sebab itu saya tidak sangka sekali lagi kami dapat bersama anak di kota penuh barakah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhd Atiqullah berkata, dia buat pertama kalinya menjadi muzawwir cukup terharu apabila mengetahui kedua ibu-bapanya antara jemaah haji yang turut menyertai ziarah terbabit.

Penuntut tahun kedua persediaan Bahasa Arab itu berkata, rezeki ini jarang diperoleh oleh penuntut lain dan dia berasa bersyukur atas pemilihan menjadi muzawwir.

"Saya hanya tahu ibu bapa saya dapat menunaikan haji kira-kira sebulan lalu. Tapi pada masa itu saya pun belum tahu sama ada saya dapat berkhidmat sebagai muzawwir atau tidak.

"Keputusan hanya diterima beberapa hari sebelum ibu bapa berlepas.Itu pun mereka cuma beritahu saya bertugas menerusi kumpulan WhatsApp,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!