'Prosedur haji, umrah perlu diuar-uarkan dalam khutbah Jumaat'

Prosedur untuk melaksanakan haji dan umrah perlu diuar-uarkan dalam khutbah Jumaat bermula bulan Syaaban bagi mengelakkan lebih ramai umat Islam yang ingin melakukan ibadat itu ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab. Gambar hiasan
Prosedur untuk melaksanakan haji dan umrah perlu diuar-uarkan dalam khutbah Jumaat bermula bulan Syaaban bagi mengelakkan lebih ramai umat Islam yang ingin melakukan ibadat itu ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Prosedur untuk melaksanakan haji dan umrah perlu diuar-uarkan dalam khutbah Jumaat bermula bulan Syaaban bagi mengelakkan lebih ramai umat Islam yang ingin melakukan ibadat itu ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah Urusan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Datuk Mohamad Din Yusoh berkata, maklumat tersebut boleh dikeluarkan dalam khutbah Jumaat di seluruh negara seperti mana yang dilakukan mengenai isu rasuah.

Katanya, difahamkan sekarang khutbah Jumaat berselang-seli memperingatkan jemaah supaya tidak terbabit dengan isu rasuah dengan membaca sebaris dua ayat.

“Jadi saya minta, perkara yang sama juga dilakukan untuk haji dan umrah bagi memastikan orang ramai tidak mudah ditipu. Tiga bulan sebelum musim haji, maklumat tersebut boleh diselaraskan dalam khutbah Jumaat, cukup sebaris ayat.

“Tidak dinafikan perkara ini telah dihebahkan oleh Tabung Haji berulang kali sejak tahun 90-an hingga kini. Sepatutnya tiada isu cuma boleh ditambah dengan pendekatan baharu melalui khutbah Jumaat. Saya percaya dengan cara ini penyebarannya lebih meluas terutama di kawasan-kawasan kampung,” ujarnya.

Laporan Sinar Ahad.
Laporan Sinar Ahad.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Makkah dilaporkan terkandas apabila agensi yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan ibadah itu pada musim ini.

Bakal jemaah haji terbabit menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej murah yang ditawarkan oleh agensi terbabit menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad Din, masalah kena tipu sepatutnya tidak berlaku sekiranya jemaah tahu prosedur dan mengikut arahan kedua-dua pemerintah kerajaan iaitu Malaysia dan Arab Saudi.

Jelasnya, visa haji tidak akan dikeluarkan oleh mana-mana pihak agensi dan sebagainya kecuali Malaysia dan Arab Saudi sahaja.

“Kalau kerajaan Malaysia, visa ini diturunkan kepada Tabung Haji. Biasanya visa akan dikeluarkan pada satu Zulhijah. Sebelum itu tidak akan dikeluarkan.

“Jadi kita kena ikut pemerintah. Kalau kita tidak patuh, jadi salahnya siapa. Jangan kata, saya tidak bersalah dan ditipu sepatutnya kita kena tahu sebelum membuat keputusan. Kita fikirkan sendiri,” ujarnya.

Mohamad berkata, menunaikan haji dengan menggunakan cara yang salah hukumnya sah kerana dapat menyelesaikan rukun haji, namun perbuatan tersebut berdosa di sisi ALLAH.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!