‘Vladimir Putin Agung’

Putin kekal mentadbir Rusia untuk penggal keenam dan dijangka mengekalkan kuasa sehingga 2036.
Putin kekal mentadbir Rusia untuk penggal keenam dan dijangka mengekalkan kuasa sehingga 2036.
A
A
A

MOSCOW - Pemimpin digeruni Barat ini membawa penampilan segak bergaya seperti ‘czar moden’ dan beliau mungkin menganggap dirinya sebagai ‘Vladimir Putin Agung’.

Buat kali kelima, Putin, 71, melangkah dari Istana Besar Kremlin ke Dewan Takhta St Andrew untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Rusia bagi penggal keenam pada Selasa lalu.

“Kita adalah rakyat yang bersatu dan hebat. Kita akan mengatasi apa juga halangan untuk merealisasikan segala rancangan. Kita akan mencapai kemenangan bersama-sama,” ujarnya kepada menteri dan orang kenamaan yang menghadiri upacara rasmi tersebut.

Laluan karpet merah mungkin agak biasa buat Putin meskipun banyak sudah berubah sejak majlis pelantikannya yang pertama pada Mei 2000.

Pada masa itu, Putin berikrar untuk memelihara dan membangunkan demokrasi serta ‘menjaga’ Moscow di bawah tampuk pemerintahannya.

Situasi berubah selepas tempoh 24 tahun, Kremlin dikecam teruk oleh Barat kerana melancarkan perang ke atas Ukraine dan turut menyasarkan puak penentang yang lantang mengkritik beliau.

Putin 5.0 masih mempunyai penyokong yang ramai kerana sebahagian besarnya memuji pemimpin tersebut susulan beliau berhasil memimpin Rusia untuk mencapai kemenangan tanpa menghiraukan ancaman musuh mereka.

“Kemenangan yang dimaksudkan adalah apabila Britain dan Barat melihat Moscow sebagai sebuah kuasa besar, malah mengiktiraf kepentingan Kremlin,” ujar ahli Parlimen Rusia, Pyotr Tolstoy.

Artikel Berkaitan:

Kini muncul pula istilah Putinisme seperti Stalinisme (Joseph Stalin) yang pernah wujud ketika era Kesatuan Soviet.
Kini muncul pula istilah Putinisme seperti Stalinisme (Joseph Stalin) yang pernah wujud ketika era Kesatuan Soviet.

Setelah hampir suku abad mentadbir Rusia, muncul pula istilah Putinisme seperti Stalinisme yang pernah wujud ketika era Kesatuan Soviet.

“Kita mempunyai satu lagi ‘-isme’ dalam sejarah. Saya mahu katakan Putinisme adalah penjelmaan semula Stalinisme,” kata felo kanan di Carnegie Eurasia Russia Centre, Andrei Kolesnikov yang merujuk kepada ideologi dan dasar diterima pakai oleh pemimpin diktator, Joseph Stalin (1927-1953).

Menurutnya, Putin berkelakuan seperti Stalin dan turut memusatkan kuasanya.

“Beliau lebih suka gunakan penindasan politik dan juga bersedia untuk kekal memegang kuasa hingga akhir hayatnya seperti Stalin.

“Cabarannya adalah kepada Barat iaitu tentang bagaimana mereka berupaya menangani seorang pemimpin autoritarian Rusia dengan julukan czar moden yang bertekad mahu menunjukkan kehebatan Moscow dengan kuasa nuklear,” katanya.

Sejurus majlis angkat sumpah itu berakhir, Putin memberitahu elit politik bahawa beliau tidak pernah menolak untuk berdialog dengan Barat termasuk berkaitan isu senjata nuklear yang menjadi kebimbangan utama banyak pihak jika ia digunakan dalam konflik bersama Ukraine.

“Pilihan ada di tangan mereka, adakah mereka mahu meneruskan tekanan dan menyekat pembangunan Rusia atau mencari jalan ke arah kerjasama serta keamanan?” tegasnya.

Pada Pilihan Raya Presiden berlangsung Mac lalu, Putin memenangi lebih 87 peratus undi tanpa berdepan mana-mana pencabar hingga mencetuskan bantahan dalam kalangan penentangnya kerana dianggap sebagai pemilihan tidak bebas dan adil.

Hubungan erat bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un turut mencetuskan kebimbangan kepada ‘musuh’ mereka.
Hubungan erat bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un turut mencetuskan kebimbangan kepada ‘musuh’ mereka.

PEMIMPIN 'KEBAL'

Vladimir Putin dilahirkan pada 7 Oktober 1952 di Leningrad, Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR).

Beliau pernah berkhidmat selama 15 tahun bersama perkhidmatan KGB atau Jawatankuasa Keselamatan Negara di USSR dan bersara pada 1990.

Putin kembali ke Rusia dan menjadi Timbalan Rektor Leningrad State University sebelum dilantik sebagai Timbalan Datuk Bandar Pertama bandar itu pada 1994.

Dua tahun kemudian, beliau berpindah ke Moscow dan menyertai staf Presiden sebagai timbalan kepada Ketua Pentadbir Kremlin, Pavel Borodin.

Pada Julai 1998, Presiden Boris Yeltsin melantik beliau sebagai Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (pengganti KGB) dan dinamakan sebagai Perdana Menteri setahun selepas itu.

Tiga bulan selepas Yeltsin meletak jawatan, Putin menang besar dan dilantik sebagai Presiden Rusia yang mengawal lebih 89 wilayah dan republik.

Beliau dilantik semula pada 2004 dan menamakan Dmitry Medvedev sebagai penggantinya pada Mac 2008, manakala Putin memegang jawatan Perdana Menteri.

Pada 2011, kedua-dua pemimpin tersebut mengumumkan akan ‘bertukar jawatan’ dan setahun selepas itu, Putin menang untuk penggal ketiga.

Pada 2014, Putin mengilhak Semenanjung Crimea dan dikatakan terlibat secara aktif dalam perang saudara di Syria.

Putin juga cuba menyangkal dakwaan Barat yang menuduh Rusia campur tangan dalam pilihan raya asing dan melancarkan serangan siber menyasarkan kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016, manakala Pilihan Raya Presiden Perancis 2017 dikaitkan dengan ‘gangguan’ oleh perkhidmatan risikan Moscow.

Pemimpin ‘kebal’ itu terus mengekalkan kuasanya pada 2018, malah badan perundangan negara tersebut meluluskan cadangan Putin untuk meminda Perlembagaan bagi menghapuskan had penggal presiden.

Pada Februari 2022, beliau mengarahkan ‘operasi khas’ dilancarkan ke atas Ukraine yang berterusan hingga kini dan tiada tanda akan reda dalam masa terdekat. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!