VAR 'hangatkan' aksi KL City, Kuching City

Pemain KL City, Jovan Morika (tiga dari kanan) diasak pertahanan Kuching City dalam aksi Liga Super 2024/25 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam tadi. Foto Bernama
Pemain KL City, Jovan Morika (tiga dari kanan) diasak pertahanan Kuching City dalam aksi Liga Super 2024/25 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam tadi. Foto Bernama
A
A
A

KUALA Lumpur (KL) City FC yang tampil 10 pemain berkongsi satu mata selepas seri 1-1 menentang Kuching City FC dalam perlawanan Liga Super 2024/25 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur malam tadi.

Pada aksi itu, Video Bantuan Pengadil (VAR) menjadi tumpuan selepas terlibat dalam dua insiden getir iaitu gol penyamaan Kuching City pada minit ke-14 dan layangan kad merah kepada pemain pertahanan baharu KL City, Adrijan Rudovic pada minit ke-39.

KL City kendalian Miroslav Kuljanac juga menerima tamparan awal selepas pemain pertahanan kanannya, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri terpaksa diusung keluar digantikan dengan J Partiban pada minit keempat susulan kecederaan akibat pelanggaran dengan pemain lawan.

Namun, skuad The City Boys berjaya membuka tirai jaringan menerusi kaptennya Paulo Josue yang meledak gol cantik menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-12 sebelum jaringan penyamaan Kuching City menerusi penyudah Yuki Tanigawa dua minit kemudian dibatalkan.

Pengadil S. Logeswaran membuat keputusan membatalkan jaringan itu selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran pemain Kuching City terhadap penjaga gol KL City, Azri Ghani sebelum jaringan dihasilkan.

Keputusan itu tidak mematahkan semangat pasukan pelawat kendalian Aidil Sharin Sahak yang bangkit untuk merobek gawang KL City buat kali kedua dengan Pedro Henrique meledak gol penyamaan pada minit ke-19.

VAR sekali lagi terlibat dalam keputusan getir apabila Logeswaran membatalkan kad kuning yang diberikan kepada Rudovic dan melayangkan kad merah kepadanya susulan terjahan berbahaya ke atas penyerang Kuching City, Jordan Minta pada minit ke-34 selepas membuat semakan di monitor.

Sementara itu, Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas terikat seri tanpa jaringan ketika melayani kunjungan Penang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Artikel Berkaitan:

Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee tampak berbahaya dengan serangan pantas dari kedua-dua sisi padang terutama melalui Saddil Ramdani dan Daniel Ting, namun deretan hantaran lintang cantik dihasilkan gagal disudahkan.

Peluang terbaik pasukan tuan rumah hadir pada masa tambahan separuh masa kedua apabila sepakan sudut Saddil melencong menemui Gabriel Peres, namun tandukannya diselamatkan penjaga gol lawan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Sama seperti yang berlaku di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, ketika aksi Sri Pahang FC menentang Kelantan Darul Naim FC, senario sama berlaku di Stadium Likas apabila VAR tidak dapat digunakan disebabkan masalah teknikal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!