Berpantang maut sebelum ajal
KAMPAR - Seorang wanita terselamat selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Kuala Dipang Pearl Park dekat sini pada Isnin.
Mangsa berusia 30-an berjaya dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar tanpa sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian itu diterima pada jam 6.55 pagi.
Menurutnya, anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati, sebatang pokok telah tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Toyota Vios.
"Terdapat seorang mangsa terperangkap dalam kenderaan itu.
"Operasi menyelamat kemudiannya digerakkan menggunakan gergaji rantai bagi memotong pokok tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, operasi terkawal pada jam 8 pagi dan mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan berjaya dikeluarkan.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.27 pagi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!