Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan pendirian dasar monetarinya yang ketat, sekali gus menyokong dolar. Gambar hiasan
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan pendirian dasar monetarinya yang ketat, sekali gus menyokong dolar. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan pendirian dasar monetarinya yang ketat, sekali gus menyokong dolar, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pada jam 9.01 pagi, ringgit merosot kepada 4.7420/7465 berbanding dolar AS daripada 4.7385/7410 pada Jumaat lepas.

Mohd Afzanizam berkata, pada minggu ini, pemain pasaran akan memberi tumpuan kepada data inflasi AS dengan laporan Indeks Harga Pengeluar dan Indeks Harga Pengguna yang akan dikeluarkan pada Selasa dan Rabu.

"Oleh itu, ringgit dijangka dalam jajaran kecil hari ini.

"Fed dilihat tertumpu kepada menurunkan inflasi kepada sasaran dua peratus walaupun terdapat petunjuk ekonomi lemah,” katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, katanya, pasaran berharap tumpuan Fed akan berubah daripada inflasi kepada pertumbuhan, tetapi ini dilihat agak sukar pada masa ini berdasarkan kadar inflasi yang masih tinggi.

Pada awal dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.0407/0438 daripada 3.0428/0446 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding euro kepada 5.1062/1110 daripada 5.1072/1098 sebelum ini, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.9370/9426 daripada 5.9364/9395 minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, mata wang tempatan mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5001/5037 daripada 3.5017/5038 pada Jumaat lepas, naik berbanding baht Thailand kepada 12.8918/9086 daripada 12.9009/9137 minggu lepas dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.22/8.27 daripada 8.25/8.26 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 295.4/295.9 daripada 295.2/295.6 pada Jumaat lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!