Penyudah tumpul hampakan Sabah FC raih kemenangan pertama

Pemain Sabah FC, Kwang Min Ko (kiri) bersaing dengan pemain pertahanan Penang FC Nabil Ahmad Latpi pada pembukaan saingan Liga Super antara Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas, malam tadi. Foto Bernama
Pemain Sabah FC, Kwang Min Ko (kiri) bersaing dengan pemain pertahanan Penang FC Nabil Ahmad Latpi pada pembukaan saingan Liga Super antara Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas, malam tadi. Foto Bernama
A
A
A

TINDAKAN penyudah yang tumpul menghampakan Sabah FC untuk meraih kemenangan dalam perlawanan pertama Liga Super bertemu Penang FC di Stadium Likas di sini malam tadi yang berkesudahan tanpa jaringan.

Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata, jentera skuad Badak itu bermain dengan baik apabila berjaya menguasai permainan, bagaimanapun dikecewakan apabila hantaran-hantaran yang dihasilkan gagal disudahkan dengan baik oleh pemainnya.

Justeru, beliau berkata, penyudah dan kecergasan pemain merupakan antara faktor utama yang akan diperbaiki Sabah menjelang perlawanan kedua menentang Kelantan Darul Naim FC di Kota Bharu pada Jumaat ini.

"Kita tidak mendapat keputusan yang dikehendaki tetapi secara keseluruhan mengawal permainan dengan baik dan kita harus perbaiki terutama aspek penyudah yang mana banyak peluang kita cipta namun tak dapat jaringkan gol.

"Bermain tempat sendiri tanpa kemenangan pada perlawanan pertama tentu berikan sedikit kekecewaan apabila mula musim baru, tetapi masih terlalu awal...mula musim bukan perkara mudah ditambah ada pasukan lakukan persiapan lebih baik, kita mesti dapat keputusan lebih baik selepas ini,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di sini malam tadi.

Ditanya tentang ketiadaan Video Bantuan Pengadil (VAR) akibat masalah teknikal, beliau berkata, sudah tentu VAR dapat membantu pengadil membuat keputusan melibatkan Sabah pada perlawanan itu, namun beliau minta pemainnya lupakan perkara itu dan bermain lebih baik pada perlawanan seterusnya.

Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, bermain menentang Sabah di Stadium Likas bukan sesuatu yang mudah, justeru beliau mencatur skuad Harimau Kumbang itu untuk bermain secara bertahan dan melakukan serangan balas bila peluang terhidang.

"Keputusan adalah positif malam ini dengan kita seri. Kita akan tambah baik kelemahan antaranya kecergasan pada perlawanan seterusnya,” katanya yang bakal berdepan Terengganu FC pada perlawanan kedua Liga Super, Ahad ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!