Nelayan, pembantu kedai didakwa edar dadah 21 kilogram

Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.03 kilogram, dua minggu lalu.
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.03 kilogram, dua minggu lalu.
A
A
A

TAIPING - Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.03 kilogram, dua minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohd Fauzi Mohd Mokhtar, 42, dan Dzulkarnai Maliki, 47, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca serentak di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang bekerja sebagai nelayan dan pembantu kedai memandangkan kes itu di luar bidang kuasa Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 21,037.10 gram di kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan kedai di Jalan Medan Simpang, Taiping jam kebih kurang 11.15 malam pada 3 Mei 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Nishaalini manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Artikel Berkaitan:

Dua lelaki itu ditahan pada 3 Mei lalu selepas pemeriksaan di dalam kereta Proton Waja dinaiki menemui sebuah guni berwarna putih yang di dalamnya mengandungi 46 bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah seberat lebih 21 kilogram bernilai RM262,275.

Kedua-duanya mengaku mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu dengan mendapatkan bekalan dari kawasan utara Perak dan diedarkan untuk pasaran tempatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!