Ubah tempurung jadi kraf tangan cantik, bernilai
BAGAN DATUK - Seorang bekas pekerja swasta ingin memanfaatkan daerah tempat tinggalnya di Bagan Datuk yang merupakan antara hab penanaman kelapa terbesar negara, dengan mengubah tempurung dan batang tanaman itu menjadi barangan dan kraf tangan bernilai tinggi.
Mad Saril Ahmad, 63, berkata, idea mencipta barangan dan perhiasan serta cenderamata itu tercetus ketika dia yang bekerja di ibu negara mengambil keputusan untuk pulang ke kampung isterinya di Kampung Sungai Betul di sini pada 2011.
"Saya lihat di sini (kampung isteri) banyak penanaman kelapa, penjual santan pula bakar tempurung yang tidak digunakan, dari situ saya borong... pada mulanya, saya bentukkan tempurung menjadi cenderamata kecil seperti rantai kunci," katanya ketika ditemui di bengkel Saril Kraftani miliknya, di sini baru-baru ini.
Mad Saril berkata, selepas mendapat sambutan, dia mula menghasilkan barangan bersaiz lebih besar seperti replika pokok kelapa dan jambangan bunga, malah turut mengubah tempurung menjadi peralatan dapur seperti mangkuk dan sudip.
Selain itu, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia juga membuat lampu meja dan barang perhiasan daripada batang kelapa yang boleh mencecah harga hingga RM150.
"Tempahan yang paling banyak diterima adalah daripada pemilik kedai makan yang mahu saya hasilkan mangkuk untuk meletakkan makanan seperti laksa, mi kari dan cendol. Saya juga terima tempahan dari seluruh negara termasuk Kedah, Johor dan Terengganu.
"Bagi cenderamata pula, saya banyak terima tempahan daripada agensi kerajaan, korporat dan swasta,” katanya yang dibantu oleh isterinya Fauziah Abdul Aziz, 58.
Menurut Mad Saril, kebanyakan kraf tangan dan barangan dihasilkan menggunakan tempurung dan batang kelapa jenis Malayan Tall yang tahan lebih lama.
Mengenai proses pembuatan, katanya tempurung kelapa perlu dilicinkan terlebih dahulu sebelum dibentuk menggunakan mesin pemotong dan dicantumkan menggunakan gam khas yang dicampur serbuk kayu untuk mengukuhkannya.
"Proses akhir akan disudahi dengan semburan clear spray untuk mengilatkannya sebelum dijemur. Bagaimanapun, barangan dapur seperti sudu, sudip atau mangkuk tidak perlu disembur kerana mempunyai bahan kimia," katanya.
Mad Saril berkata, dia bersyukur apabila perniagaan yang diusahakan selama 13 tahun itu mendapat sokongan agensi berkaitan seperti Kraftangan Malaysia dan Jabatan Pertanian yang memberikan bantuan dari segi promosi dan peralatan.
"Alhamdulillah, setakat ini saya boleh meraih pendapatan hingga empat angka sebulan walaupun melalui tempahan awal sahaja, saya merancang untuk membuka galeri sendiri pada masa depan," katanya yang turut aktif memberikan ceramah dan kursus kepada mereka yang berminat menghasilkan kraf tangan di seluruh negara. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!