Konsert Siti Nordiana pukau peminat, imbau kenangan duet bersama Achik Spin
HAMPIR tiga dekad sebagai penyanyi, Siti Nordiana kekal memukau ketika menghiburkan peminat dalam konsert 'Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun' yang berlangsung di sini pada Sabtu malam.
Dalam konsert selama dua jam itu, lebih 1,000 peminat, dari golongan 'baby boomers' hinggalah kepada generasi 'millenials', jelas terhibur dan terpukau dengan dendangan 21 buah lagu hit sepanjang karier penyanyi versatil itu.
Bekerjasama dengan kumpulan pemuzik latar The Romeo yang menggabungkan tujuh ahli muzik berserta dua penyanyi iringan, Siti Nordiana memberikan persembahan vokal yang bertenaga sekalipun sudah berusia 39 tahun.
Kehadiran ahli kumpulan peminat penyanyi itu - Siti Nordiana Fan Club - menambahkan gegak gempita sorakan di Zepp Kuala Lumpur tersebut, disokong dengan visual layar pentas yang begitu menarik.
Pemilik nama sebenar Siti Nordiana Alias yang mesra dengan panggilan Nana itu turut mengadakan segmen khas bagi mengimbau memori beliau bersama-sama Allahyarham Achik Spin sepanjang penglibatan mereka berdua dalam dunia seni.
"Segmen ini memang istimewa untuk Nana. Nana dedikasikan khas buat insan yang berjuang bersama dengan Nana dalam industri ini. Banyak menemani Nana dalam suka dan duka, banyak mengajar Nana erti persahabatan.
"Walaupun beliau tidak ada di sini bersama kita, Nana percaya semangat serta lagu-lagu dia di hati anda semua.
"Semoga roh Allahyarham Achik Spin ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, insya-Allah,” katanya yang mengakhiri persembahan dengan lagu hit mereka berdua, Paling Comel, yang diterbitkan pada 2003.
Untuk rekod, Allahyarham Achik Spin atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2010.
Siti Nordiana turut menyampaikan mesej bersempena dengan Hari Ibu dengan membahasakan dirinya sebagai 'Mother' selain mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada peminatnya yang bergelar ibu.
Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun dianjurkan oleh Icon Entertainment, menghimpunkan pengarah muzik Johan Shamsudin serta pemuzik Eddie Slam, Ujang Exist, Wan Gigi, Kabung, Rizal, Paang serta penyanyi latar Yuaz dan Eja. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!