Mayat wanita OKU hilang ditemui 50 meter dari rumah
KUALA PILAH - [DIKEMASKINI] Misteri kehilangan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) sejak 2 Januari lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui kira 50 meter dari rumahnya di Kampung Sungai Dua di sini semalam.
Kakaknya, Kalsom Mohd Yusof, 70 berkata, mayat Salminyah Mohd Yusof, 67, ditemui sepasukan polis Ronda Khas Balai Polis Kuala Pilah yang melakukan rondaan serta mencari berhampiran rumahnya kira-kira jam 3 petang.
"Polis membuat rondaan sejak adik saya dilaporkan hilang dan mereka memaklumkan perkembangan siasatan selain mengambil maklumat daripada keluarga kami.
“Bagaimanapun, ketika anggota tersebut beredar, mereka terhidu bau busuk dan mencari punca bau itu sebelum menemui mayat di hutan berhampiran. Mereka ternampak tangan adik saya terkulai dari celah pokok.
"Kami tidak terfikir untuk mencarinya di kawasan tersebut kerana lokasinya agak tinggi dan sukar untuk seorang wanita tua yang juga OKU naik ke atas bukit itu," katanya.
Menurut Kalsom, walaupun sedih dengan kehilangan itu tetapi dia bersyukur dan reda kerana jasad adiknya telah ditemui malah penantian keluarganya selama 15 hari telah terjawab.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian dan mayat Salminyah telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Ketika ditemui mayatnya dalam keadaan mengiring dan lengkap berpakaian berhampiran sebatang pokok kira-kira 50 meter dari rumah mangsa. Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum ditemui," katanya.
Jenazah Salminyah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Simpang Pulau Pandan, Kuala Pilah hari ini selepas selesai proses bedah siasat.
Sinar Harian pada 9 Januari lalu melaporkan seorang wanita OKU hilang dari rumah dan keadaan itu disedari keluarganya ketika memanggilnya untuk makan tengah hari.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tolong cari adik saya'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!